Pahang, Kedah Seri 2-2


KUANTAN - Skuad Pahang gagal meneruskan rentak cemerlang apabila terikat 2-2 dengan Kedah di Stadium Darul Makmur, semalam.

Keputusan itu juga memadam rekod dua kemenangan berturut-turut yang diraih Pahang ketika menewaskan Melaka United 2-0 dan Terengganu FC 3-1 minggu lalu.

Namun, pada perlawanan malam ini, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi Chan Vathanaka yang menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim seawal minit ke-10.

Lapan minit berselang, penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pula tewas selepas pemain import Helang Merah, Sandro Da Silva menyamakan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-39, skuad Tok Gajah kembali berada di hadapan apabila rembatan dari luar kotak penalti oleh pemain tengah, Safuwan Baharudin menerjah gawang lawan bagi memastikan Pahang mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Empat minit bersambung babak kedua, giliran skuad Tok Gajah dihukum gol kedua Helang Merah yang dijaringkan Da Silva.

Skuad kendalian Dollah Salleh berusaha untuk kembali menambah jaringan tetapi pertahanan lawan lebih bersedia mengekang setiap asakan dilakukan tuan rumah.

Pahang terpaksa akur sekadar meraih satu mata di laman sendiri manakala Kedah sedikit gembira untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com