Orang Muda Kuah Panggil Saya YB Futsal


LANGKAWI - Nama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan tidak perlu diperkenalkan lagi, kerana beliau begitu dikenali dan dekat dengan hati penduduk di kawasan ini.

Rata-rata penduduk, sama ada wanita, warga emas, masyarakat pelbagai kaum dan semua golongan, rata-rata disantuni dengan baik oleh calon Barisan Nasional (BN) DUN Kuah itu sejak daripada tempoh lima tahun lalu.

Malah antara yang paling rapat dan dekat dengan Nor Saidi sudah tentunya golongan muda yang mengelarkan be-liau sebagai ‘YB futsal’ berikutan usaha berterusannya menganjurkan pelbagai kejohanan bagi mendekati ke-lompok berkenaan.

“Saya mendekati orang muda ini bukan sejak baru-baru ini sebaliknya sejak daripada mula lagi bergelar wakil rakyat. Saya selalu menganjur pertandingan futsal, bola sepak sehingga mereka mengelarkan saya YB futsal.

“Saya selalu ada masa mendekati mereka melalui pelbagai program yang diadakan. Mereka ini akan menilai saya menerusi kerja-kerja yang dilakukan selama ini, tidak perlu saya nilaikan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu ini, Nor Saidi bakal berhadapan saingan empat penjuru di DUN Kuah membabitkan calon PKR, Mohd. Firdaus Ahmad; Mazlan Ahmad, dari Pas dan seorang wakil Bebas, Mohamad Ratu Mansor.

Pada PRU-13, Nor Saidi berjaya menewaskan Ahmad Kassim dari PKR dan Zaflee Pakwanteh mewakili Bebas dengan majoriti 6,371.

Dalam pada itu, beliau berkata, gerak kerja sepanjang tempoh kempen ini adalah kesinambungan daripada kerja-kerja yang dilakukan sejak lima tahun lalu.

Katanya, beliau juga menggunakan pendekatan bertemu penduduk secara bersemuka, kerana dengan cara itu penduduk akan merasa lebih dekat dengannya.

“Hubungan saya dengan penduduk di Kuah cukup rapat seperti keluarga sendiri dan hubungan itu akan diteruskan sampai bila-bila,” katanya. 

Sumber: Utusan Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com