Notis 6 Bulan Penjawat Awam Yang Diberhentikan


KUALA LUMPUR – Cuepacs hari ini menggesa kerajaan supaya melanjutkan notis penamatan kontrak bagi penjawat awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan sekurang-kurangnya enam bulan berikutan pengumuman beberapa agensi yang dibubarkan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata cadangan ini bagi memberi ruang kepada mereka yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan yang baharu dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang bakal diberhentikan itu mempunyai bebanan hutang dan komitmen kewangan di samping tanggungan anak yang ramai.

“Kita difahamkan bukan semua yang diberhentikan adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu, terdapat juga mereka daripada kumpulan pelaksana 1 dan 2 juga golongan profesional dan pengurusan yang menerima notis penamatan perkhidmatan pada 16 Jun.

“Mereka ini tidak langsung terlibat dengan pekerjaan membuat dasar-dasar, sekurang-kurangnya kalau boleh kita minta supaya beri notis berhenti enam bulan kepada mereka sebelum diberhentikan,” katanya kepada pemberita di Wisma Cuepacs di sini hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan menamatkan perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak kerana mereka adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pada 23 Mei lalu, Dr. Mahathir mengumumkan pembubaran beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Sementara itu, Azih berkata sejak pengumuman penamatan perkhidmatan dan pembubaran itu, pihak Cuepacs telah didatangi oleh mereka yang terkesan oleh keputusan itu bagi mendapatkan bantuan mereka.

“Kita memang mahu membantu mereka semua dan kita akan menulis surat kepada Perdana Menteri bagi mempertimbangkan cadangan kami,” katanya.

Sementara itu, Azih berkata Cuepacs sentiasa menyokong sebarang keputusan yang dilakukan kerajaan terutamanya dalam menghadapi masalah kewangan dan hutang negara yang tinggi.

“Kita yakin kerajaan telah melakukan perkara yang seadil mungkin bagi menjamin kebaikan negara,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com