Norsabrina Bantu, Cuba Fahami Pengundi Cina Di Bandar Baharu


ALOR SETAR - Calon Barisan Nasional (BN) di DUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor dilihat semakin bergiat aktif turun padang menghulurkan bantuan dan menyelami masalah pengundi Cina di kawasan itu.

Tidak hanya menjalankan tugas selepas mendapat wartikah sebagai calon, Norsabrina dilihat telah menjalankan gerak kerja itu sejak lima tahun lalu selepas mendapat mandat daripada rakyat di situ.

Berbekalkan bantuan dari parti komponen Gerakan dan MCA di kawasan itu, beliau mengharapkan sedikit sebanyak dapat menambahkan semula pengundi Cina untuk BN pada pilihan raya ini.

“Kita minta mereka bagi sokongan kepada BN dan saya untuk kekalkan sebagai Adun dalam Bandar Baharu, saya harap pengundi Cina lebih banyak dan ramai lagi bersama BN.

“Saya yakin kerana jentera MCA dan Gerakan banyak membantu kita di sini, Insya-ALLAH kita akan tunjukkan pengundi Cina akan bertambah di BN.

“Pekan Serdang ini adalah antara PDM yang kalah paling teruk, begitu juga Kampung Ee Guan  antara PDM yang kita kalah banyak pada PRU lalu.

"Ini kerana di sini mempunyai pengundi Cina yang tinggi,” katanya kepada media pada Program Edar Lencana dan Panduan Mengundi di Serdang, memetik Sinar.

Menurutnya, generasi lama kaum Cina di sini yang menyokong BN perlu mainkan peranan mengajak ahli keluarga mereka memberi undi kepada BN.

“Pengundi Cina di sini orang lama, yang mana orang muda banyak kerja di luar negara dan tinggal di merata negeri tapi pada tahun 2013 depa (mereka) ramai balik untuk mengundi dan tak memilih kita pula, yang tua-tua sini semua pilih kita.

“Jadi kita nak orang lama atau ibu bapa mereka di sini beritahu anak-anak mereka yang pulang mengundi untuk memilih BN,” katanya.

Selain itu, pengundi Melayu yang populasinya lebih 60 peratus di sini turut memainkan peranan penting bagi memberi kemenangan kepada BN juga pastinya akan membawa lebih banyak manfaat serta keuntungan kepada rakyat di situ.

“Kita bergantung kepada pengundi Melayu, setakat saya buat kerja Alhamdulillah Umno-BN akan setia sokong kita.

“Sebab siapa lagi orang Melayu boleh bergantung selain kerajaan BN, ini PKR pula mai bergabung dengan DAP, tak ada alasan orang Melayu tak pilih BN, saya berharap terus kekalkan orang Melayu bersama BN terjemahkan undi pada 9 Mei ini,” katanya. - Kedahnews.com.

#JomBN #BersamaBN #DahulukanRakyat #HebatkanNegaraku #PRU14 GE14 #UndiBN #BR1M #ManifestoBN 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com