Nik Omar Yakin Ibu Doakan Kejayaan


KOTA BHARU - Calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Aziz, yakin ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, mendoakan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Nik Omar berkata, soal restu ibu yang dikaitkan dengan dirinya sebaik menjadi calon di DUN berkenaan hanya silap faham dan masalah teknikal.

"Apa yang pasti, bonda saya turut mendoakan saya seperti anak-anak yang lain. Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang pentingnya bonda doa kepada semua anak-anak.

"Begitu juga saya sebagai anak, wajib kita mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Nik Omar yang juga anak kedua daripada 10 beradik meluangkan masa berjumpa ibunya di Pulau Melaka, namun beliau enggan mengulas secara jelas pendirian ibunya terhadap keputusannya bertanding atas tiket PKR.

Nik Omar turut meluangkan masa berjumpa pelajarnya di Maahad Darul Annuar. Pada masa sama, Nik Omar turut mendakwa akan meneruskan agenda hudud termasuk Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

"Ia adalah tanggungjawab sebagai hamba Allah untuk patuh. Bukan setakat hudud, tetapi tanggungjawab untuk patuh dan tunduk kepada semua syariat dan arahan Allah," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com