Nidzam Kecewa Kedah Gagal Raih 3 Mata


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff agak terkilan apabila skuad Lang Merah kendaliannya gagal meraih tiga mata gara-gara terikat seri 3-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Beliau mengakui kemenangan hampir digenggam Kedah kerana sudah mendahului tiga gol di babak pertama dan seandainya pemainnya tidak melakukan kesilapan dan mampu menambah gol keempat, Kedah sudah pasti tersenyum lebar.

"Sekiranya kami menjaringkan gol keempat, saya yakin kami mampu menang namun inilah hakikat dalam perlawanan di mana saya penguasaan bukan jaminan kemenangan.

"Kami mengharungi babak kedua dengan mentaliti serta sikap sama seperti babak pertama dan sepatutnya kami menghasilkan lebih gol.

"Pada babak kedua kami cuba menambah jaringan cuma peluang yang terhidang tidak disempurnakan sebaiknya," kata Nidzam.

Beliau mengakui beberapa kesilapan pemainnya menidakkan peluang Kedah untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri seperti diharapkan dalam perancangan sebelum ini.

"Cuma saya lihat dalam setiap perlawanan semua pemain pernah melakukan kesilapan dan saya berharap kesilapan yang merugikan itu dapat dikurangkan pada masa akan datang.

"Negeri Sembilan datang ke sini memang untuk sasarkan satu mata dan apabila kami gagal menambah gol keempat mereka pula mengambil kesempatan diatas kelemahan yang ada.

"Fokus kami seterusnya adalah menentang Pahang di Kuantan pada 5 Mei ini. Ia lebih mencabar dan kami perlu terus fokus serta bersedia," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com