Nidzam Berdepan Percaturan Sukar


ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff terpaksa membuat percaturan sukar apabila tiga tonggak utama pasukan tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan di Paroi, Ahad ini.

Nidzam berkata, tiga pemain utama Sandro Da Silva, Andik Vermasyah dan Ariff Farhan Isa terpaksa diketepikan bagi kunjungan ke Stadium Tuanku Abdul Rahman kerana kecederaan.

Pengendali skuad Lang Merah itu mengakui kecederaan tiga tonggak itu memberi cabaran besar buat Kedah.

"Bukan tugas mudah dan ia sedikit menggusarkan saya, tapi saya akan cuba merumuskan strategi terbaik demi untuk kejayaan Kedah."

Sandro yang menjadi peledak utama pasukan mengalami kecederaan lutut sewaktu beraksi menentang Pahang, Andik pula masih belum pulih daripada hamstring manakala Ariff Farhan mengalami kecederaan dua hari sebelum bertolak ke Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, saya tetap yakin dengan pemain gantian yang akan diturunkan nanti mampu menggalas tugas untuk memburu kemenangan selepas mencatat tiga keputusan seri sebelum ini sewaktu bertemu Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

"Kemenangan amat penting bagi kami untuk menambah mata bagi terus membaiki kedudukan dalam carta Liga," ujarnya.

Nidzam berkata, apa yang penting adalah memastikan pasukannya memberi tumpuan penuh untuk meraih tiga mata berdepan skuad Hobin Jang Hobin yang kini dikendalikan oleh jurulatih baharu.

"Saya yakin pemain saya mampu memberi aksi serta fokus terbaik sepanjang 90 minit di tempat lawan. Selain itu saya juga mahu mereka elakkan kesilapan yang mampu merugikan pasukan.

"Selepas tiga keputusan seri, inilah masanya kami bangkit mencapai kemenangan," ujarnya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com