Nenek Dakwa Mengandung Pada Usia 70 Tahun


SEORANG warga emas berusia 70 tahun mendakwa dia sedang mengandung enam bulan, sekali gus bakal menjadikan dia sebagai wanita paling tua yang melahirkan anak dalam sejarah dunia.

Maria de la Luz, yang menetap di Mazatlan, Sinaloa, Mexico sudahpun mempunyai tujuh anak.

Baru-baru ini dia telah menunjukkan gambar ultrasound yang mengesahkan dia sedang mengandung bayi perempuan.

“Kaki saya sakit dan saya muntah serta berasa pening. Selepas 10 ultrasound di klinik swasta dan kerajaan dilakukan, doktor sendiri tidak percaya dan terkejut,’’ katanya.

Maria de la Luz bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada beliau menggunakan rawatan kesuburan namun dia mendakwa tidak tahu dirinya mengandung sehinggalah usia kandungan melebihi tiga bulan.

Disebabkan faktor usia, dia dijangka melahirkan anak menerusi pembedahan. Maria bagaimanapun berkata, anak-anaknya tidak gembira dengan berita kehamilannya kerana menyifatkan dia terlalu tua.

Jika bayi yang dikandung Maria itu selamat dilahirkan, dia akan menjadi ibu paling tua di dunia, mengatasi rekod yang kini dipegang oleh wanita dari Sepanyol, Maria del Carmen Bousada de Lara.

Maria del Carmen melahirkan anak kembar lelaki menerusi IVF ketika berusia 66 tahun pada 2006.

Wanita itu menipu mengenai usianya bagi membolehkan dia menerima rawatan kesuburan di California, iaitu satu langkah di mana Maria del Carmen dituduh sebagai pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

Dua kembarnya, Christian dan Pau, dilahirkan menerusi pembedahan. Maria del Carmen meninggal dunia tiga tahun lepas akibat kanser. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com