Nenek 100 Tahun Teruja Mengundi Kali Ke-14


MERSING - Mariam Zakaria yang berusia 100 tahun, tidak sabar untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Mariam yang tinggal dekat Kapung Hubong, Endau, dekat sini dipercayai pengundi tertua dalam Parlimen Mersing, malah antara yang tertua di Johor.

Sepanjang 13 kali PRU, hanya tiga kali beliau tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi berikutan masalah kesihatan dan penglihatan.

Mariam berkata, beliau teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun tidak berapa sihat akibat penyakit semput dan masalah penglihatan.

"Walaupun saya tidak mampu lagi melihat dengan jelas, tanggungjawab untuk mengundi kali ini tidak akan saya lepaskan, saya berharap ada pihak yang sudi membantu saya ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar, Endau nanti," katanya.

Bagi Mariam, meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan atas faktor usia, beliau tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan itu seperti orang lain.

Beliau yang mempunyai tiga anak kini bergantung hidup kepada anak dan cucu selain hasil kelapa sawit dan bantuan BR1M.

"PRU kali ini tentu banyak bezanya dengan PRU terdahulu kerana saya difahamkan berlaku pertembungan tiga penjuru yang dijangka sengit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Parlimen Mersing," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com