Nelayan Kuala Kedah Rugi RM20,000, Bot Rosak Ditenggelami Air Pasang


KUALA KEDAH - Seorang nelayan dari Kampung Telok Layang, mukim Telok Kechai, di sini, terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 apabila bot miliknya rosak ditenggelami air pasang.

Hussain Bakar, 55, berkata, bot bubu sotong dilengkapi pelbagai peralatan menangkap sotong terletak di belakang rumahnya tenggelam dalam sungai sejak 16 Mei lepas.

Menurutnya, dia cuba menarik keluar bot kayu itu dari dalam sungai sebaik menyedari ia dimasuki air, bagaimanapun tidak berupaya disebabkan terlalu berat.

"Sudah kali keempat bot pak cik tenggelam dalam air. Selalunya, bot tenggelam sehari sahaja, memandangkan air pasang surut segera. Jadi, kami anak beranak boleh tarik bot ke tempat tinggi.

“Bagaimana-pun, bot tidak timbul sejak lima hari lepas disebabkan air pasang dan hujan tanpa henti di waktu petang. Apabila air surut sikit, kami hanya nampak bahagian atas bot sahaja. Itu pun, tak mampu bawa naik,” katanya.

Hussain berkata, dia sedih mengenangkan nasib dirinya kehilangan mata pencarian dan tidak berupaya mencari rezeki apabila bot berkenaan rosak ditenggelami air.

Katanya, dia yang memiliki tiga anak berusia antara 14 hingga 26 tahun termasuklah seorang yang masih bersekolah buntu memikirkan masa depan mereka lima beranak.

“Selama ini, pak cik bergantung sepenuhnya terhadap tangkapan sotong untuk menyara hidup. Jadi, bila jadi lagu ni. Pak cik tak tau nak buat apa, nak buat kerja lain tak reti sebab pak cik jadi nelayan sejak berusia 13 tahun,” katanya.

Lebih risau, dia tidak memiliki sebarang modal untuk membaiki bot dianggarkan menelan RM15,000, apatah lagi membeli bot baru bernilai RM20,000.

Maka kerana itulah, dia merayu kepada mana-mana pihak,  termasuklah syarikat korporat agar  membantunya mendapatkan bantuan bot baharu untuk dirinya demi membolehkan dia ke laut, sekaligus mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Terdahulu, nasib keluarga Hussain mendapat perhatian Kelab Usahanita Anggun Alor Setar , yang turun padang melawat mangsa dan memberi sumbangan wang demi meringankan beban dialami.

Pengerusinya, Norsusila Ismail berkata, isteri kepada Hussain, iaitu Haminah Ibrahim, 56, merupakan salah seorang Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Kami bersimpati terhadap nasib menimpa keluarga itu yang kehilangan sumber pendapatan apabila bot tenggelam dalam sungai.     

"Jadi, kami turun padang untuk menyalurkan sumba–ngan kerana peka atas masalah dialaminya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com