Negara Muflis Dakwaan Tidak Berasas


PUTRAJAYA - Ekonomi negara yang berkembang pada kadar memberangsangkan membuktikan dakwaan pembangkang bahawa Malaysia akan muflis di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak berasas.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali, berkata paras hutang perlu dilihat dengan tahap pendapatan negara kerana pendapatan tinggi menjadi faktor utama untuk membayar pinjaman.

Beliau berkata, jumlah hutang negara sebanyak RM685 bilion atau pada kadar 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala pendapatan pula adalah RM1,345 bilion.

"Ramai yang membuat rujukan bahawa hutang negara adalah tinggi, ini benar, tetapi kita perlu menilai kedudukan daripada pendapatan ekonomi terkini.

"Jika dibandingkan pada 1986, keadaan ketika itu lebih meruncing apabila hutang negara pada kadar RM74 bilion iaitu 103.4 peratus daripada KDNK manakala pendapatan berjumlah RM71 bilion.

"Dalam tempoh 40, 50 tahun sehingga hari ini ekonomi negara kita dibangunkan dalam bentuk defisit fiskal, namun ia tidak boleh ditakrifkan secara langsung bahawa ekonomi bermasalah kerana ia bergantung terhadap tahap ekonomi sesebuah negara.

"Paling utama adalah bagaimana kita berdisiplin membayar hutang. Berdasarkan pengiktirafan badan penarafan antarabangsa, kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil dan keberhutangan kerajaan adalah wajar dan terkawal," katanya pada sidang media MPN di sini, semalam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com