Nawawi Akan Beri 50kg Beras Dan Gula Pada Pengantin Baru, RM200 Bayi Baru Lahir Di Langkawi


LANGKAWI - Manisfesto Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan tambahan janji baharu dimana bantuan sebanyak 50 kilogram (kg) beras dan gula akan diberikan kepada setiap pengantin baharu di Langkawi.

Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad turut menambah bagi setiap kelahiran bayi baharu mewakili 700 keluarga setiap tahun juga diberikan sumbangan sebanyak RM200.

Tambahnya, dua perkara itu merupakan tambahan kepada 18 inisiatif yang diumumkan untuk dilaksanakan di Langkawi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.

“Janji tambahan untuk memberikan bantuan kepada pengantin baharu itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka apabila mengadakan sesuatu majlis kenduri. Setiap tahun kita dapati kira-kira 500 pasan-gan baharu di Langkawi berkahwin,” katanya memetik Utusan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manisfesto BN Parlimen Langkawi bagi PRU-14 di salah sebuah hotel di Langkawi, semalam.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan 18 inisiatif untuk dilaksanakan di pulau mutiara itu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Manisfesto yang bertemakan Hebatkan Langkawi PRU-14 itu mengariskan lapan teras utama merangkumi prasarana awam, dana dan pembiayaan, perumahan, usahawan dan penjaja, kesihatan, pelancongan, belia dan keluarga ceria.

Najib dilaporkan berkata, kesemua inisiatif tersebut adalah bertujuan menjadikan Langkawi sebagai pusat pelan-congan yang tersohor dalam peta pelancongan dunia menjelang 2030.

Antara fokus inisiatif tersebut adalah melaksanakan Pusat Transformasi Bandar (UTC); memperkasakan pelancongan kesihatan, pembinaan sebuah litar Motorcross, pembesaran lapangan terbang; menaik taraf akademi pelancongan dan pakej istimewa perkhidmatan internet berkelajuan tinggi WiFi@unifi Telekom Malaysia (TM).

Sebelum ini, Najib telah mengumumkan lima projek pembangunan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion di pulau bebas cukai berkenaan yang antaranya melibatkan pembesaran Hospital Langkawi; pembinaan kuarters dan inte-grasi daerah yang baharu; pembinaan balai bomba dan penyelamat serta kuarters Padang Matsirat.

Dalam perkembangan lain, harapan Nawawi adalah mahu melihat penduduk di Langkawi membuat pilihan terbaik dengan memilih BN dalam pilihan raya pada 9 Mei ini bagi memboleh segala perancangan yang diatur itu berjalan dengan sempurna demi masa depan Langkawi. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com