Najib Ucap Terima Kasih SPRM Siasat Beliau Secara Profesional


Walaupun menghadapi tekanan semasa serbuan dan penggelidahan di rumahnya oleh pihak polis, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mampu mengucapkan terima kasih kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengambil keterangan darinya  hari ini.

Kata Najib mereka telah mengambil kenyataannya dan mengucapkan terima kasih kerana melaksanakan tugas secara profesional.

Najib dipanggil ke ibu pejabat SPRM dan memberi kenyataan daripada jam 10 pagi hingga 2.15 petang termasuk setengah jam rehat.

"Terima kasih.. mereka telah menjalankan tugas secara profesional, " kata Najib dengan tenang dan masih mampu tersenyum kepada puluhan wartawan dan jurugambar yang menunggu beliau di luar ibu pejabat SPRM.

Ramai yang beranggapkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO/BN itu akan ditahan selepas memberikan keterangan berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut bekas Perdana Menteri itu beliau memberikan kenyataan eperti mana yang terdapat  dalam dokumen siasatan pada 2015 dan beberapa maklumat tambahan hari ini . 

Sementara itu mStar melaporkan Najib meninggalkan ibu pejabat (SPRM)  kira-kira pukul 3.15 petang selepas disoal siasat selama beberapa jam.

Dalam komen ringkasnya kepada media, Najib berkata beliau akan kembali untuk disoal siasat lebih lanjut pada Khamis.

Keterangan Najib direkodkan pada Selasa berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata bekas perdana menteri itu tidak akan ditahan, sebaliknya kenyataannya akan direkodkan sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Dalam sidang media terdahulu, Shukri berkata SPRM akan mengambil keterangan dua orang saksi berkaitan SRC International dan 1MDB. - Kedahnews.com
.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com