Najib Diminta Hadir Ke Pejabat SPRM Selasa Depan


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa depan bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Sumber SPRM berkata Najib diminta memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Sepasukan pegawai SPRM telah menghantar notis berkenaan. Setakat ini, beliau diminta hadir pada Selasa depan untuk kita merakamkan keterangan berhubung SRC International,” katanya ketika dihubungi semalam.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Mohamed Apandi dilaporkan berkata berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan, beliau sebagai Pendakwa Raya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Najib berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan.

Sehubungan itu katanya, satu kertas siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan SRC International telah dikembalikan kepada pihak SPRM selain mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan ditutup.

Terdahulu, dua buah kereta milik SPRM dilihat memasuki kediaman anggota Parlimen Pekan itu ​​​​​​di Jalan Langgak Duta, di sini pada 4 petang.

Kereta jenis Proton Preve dan Inspira berwarna perak itu yang dinaiki lapan pegawai SPRM kemudiannya meninggalkan kediaman itu pada 5.41 petang.

Awal pagi tadi, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan di sini yang dipercayai berkaitan bekas perdana menteri itu dalam siasatan kes 1MDB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga buah unit kediaman di kondominium di kawasan yang sama.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lepas, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com