Najib Ambil Cuti, Luang Masa Dengan Keluarga



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak mengambil keputusan untuk berehat seketika dan meluangkan masa dengan keluarganya selepas beberapa tahun tidak berpeluang berbuat demikian.

Tanpa mendedahkan butiran perjalanan sempena 'cutinya', Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ia perlu selepas berkecimpung lebih empat dekad dalam dunia politik dan mengharungi kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang digambarkan bersifat peribadi serta amat getir.

"Saya berdoa pasca tempoh polarisasi ini, negara akan kembali bertaut. Saya memohon maaf terhadap sebarang kepincangan dan kesalahan, selain berterima kasih kepada rakyat yang memberi peluang untuk menerajui Malaysia.

"Ia adalah satu penghormatan dalam seumur hidup saya kerana diberikan peluang untuk berkhidmat kepada rakyat dan Malaysia," katanya menerusi entri di akaun Twitter rasminya, @NajibRazak, hari ini.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, semalam dilaporkan menempah pesawat peribadi yang akan berlepas ke Indonesia, dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang.

Menepis dakwaan segelintir pihak, Najib berkata, barisan kepemimpinan BN komited untuk menghormati 'suara' rakyat, justeru akan membantu proses peralihan kuasa secara menyeluruh.

"Kepentingan untuk Malaysia dan rakyatnya sentiasa menjadi keutamaan, malah saya akan terus berkhidmat kepada mereka berlandaskan kapasiti sedia ada," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com