Naik Taraf Stesen Bas Kulim Diteruskan


KULIM - Projek naik taraf stesen bas Kulim bagi fasa pertama bernilai RM990,000 sedang dijalankan seperti biasa walaupun berlaku peralihan kuasa selepas berlangsung PRU14 pada 9 Mei lalu.

Pengarah Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Ir Tarmymy Che Ani berkata projek tersebut telah mula dijalankan bermula awal bulan ini setelah kontraktor dilantik pada 12 April lalu dan dijangka siap pada September ini.

Menurutnya, proses naik taraf itu akan diteruskan apabila peniaga dipindahkan ke gerai sementara seterusnya pengusaha teksi dan bas untuk memberi laluan merobohkan struktur binaan lama.

“Kita telah bagi notis kepada peniaga untuk berpindah, tapi kita tangguhkan sekejap kerana memikirkan keadaan peniaga dan dijangka kumpulan ini akan berpindah pada Ramadan ini.

“Kita juga akui ada kelewatan dalam proses ini, namun ia akan terus berjalan seperti yang dirancang.

“Kawasan ini juga akan menjadi mercu tanda Daerah Kulim, dan mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata pihaknya juga akan terus memohon dana berjumlah RM1.5 juta lagi untuk melaksanakan fasa kedua yang merangkumi komponen medan selera dan surau.

“Bila fasa pertama memasuki 60 peratus siap, kita akan mula memohon untuk fasa kedua yang menelan kos RM1.5 juta.

“Kita jangka bagi fasa kedua ini proses untuk menyiapkannya juga memakan masa enam bulan, itu pun bergantung kepada dana, jika ada kita boleh laksanakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan naik taraf stesen bas bermula pada Februari lalu termasuk pemindahan peniaga ke tapak gerai makanan dan minuman sementara namun ia terpaksa ditangguhkan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com