Mungkin Peniaga Sabotaj, Naikkan Harga Barang


ISKANDAR PUTERI - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berpendapat kemungkinan berlaku unsur sabotaj di pihak peniaga yang sengaja mengenakan harga tinggi berbanding harga pasaran bagi barang keperluan pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini.

Sehubungan itu, katanya, satu kajian perlu dibuat bagi melihat semula isu harga barang keperluan yang meningkat pada musim perayaan ini.

"Saya rasa apa yang perlu dibuat (ialah) kajian (kerana) bimbang ada berlaku sabotaj, kerana bagaimana saya difahamkan contohnya FAMA memberi cadangan harga daging tempatan antara RM30 hingga RM33 sekilogram, tetapi ada peniaga yang menjual antara RM36 hingga RM40 sekilogram.

"Mereka ini ada yang mengambil kesempatan, ...ini yang kita perlu lihat, ..bimbang ada kumpulan yang buat sabotaj terhadap isu barang ini termasuk harga ikan juga," katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu 99 barang keperluan yang harganya dilaporkan meningkat naik termasuk ayam, ikan dan sayur-sayuran.

Salahuddin berkata, isu berhubung harga barang itu sudah pasti antara yang akan dibincangkan di peringkat Kabinet, Rabu ini walaupun menteri bagi hal kepenggunaan belum dilantik.

"Perdana Menteri belum melantik menteri kepenggunaan lagi, tetapi Rabu ini sudah pasti isu ini akan dibincangkan di peringkat Kabinet. Sekiranya sudah ada menteri, maka tanggung jawab itu akan dipikul oleh menteri terbabit, tetapi sekiranya PM ingin tugaskan Menteri Kabinet yang lain dahulu ambil tanggung jawab ini, kita tunggu arahan Kabinet bagaimana," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com