Muhyiddin Hadap Sultan Johor, Bincang Jawatan MB


JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada jam 10 pagi ini bagi membincangkan pelantikan Menteri Besar dan kerajaan negeri Johor.

Naib Pengerusi PH Johor, Salahuddin Ayub berkata, jawatan Menteri Besar itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH selepas Muhyiddin menghadap Sultan Johor.

“Pihak majlis akan memutuskan siapa Menteri Besar menerusi rundingan dengan PH Johor,” katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Sementara itu Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, Datuk Osman Sapian, berkata Sultan Ibrahim menitahkan supaya pakatan memberikan tiga nama untuk jawatan Menteri Besar Johor.

“Kami akan menghadap Sultan Johor sama ada di Istana Bukit Serene atau Istana Pasir Pelangi,” katanya.

Bagaimanapun Osman enggan mengulas lanjut siapa yang akan menjadi Menteri Besar Johor.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala Barisan Nasional (BN), mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi. 

Sumber – BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com