MPSPK Diminta Selenggara Pokok


SUNGAI PETANI – Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) diminta melakukan penyelenggaraan dengan mencantas pokok berusia yang berisiko mendatangkan halangan sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini.

Adun Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata, tindakan itu dilihat berupaya mengelakkan risiko ditimpa dahan patah atau pokok tumbang sehingga mendatangkan kecederaan atau merosakkan harta benda.

Menurutnya, merujuk kepada kejadian ribut di Taman Keladi sebelum ini, peniaga Bazar Ramadan mengalami kerugian apabila khemah jualan ranap ditimpa pokok selain beberapa khemah lain rosak.

“Kita minta MPSPK cantas ranting yang berisiko dan buang pokok mati yang terletak di bahu jalan sekitar bandar ini bagi mengelakkan kejadian berulang terutama sekali bila ribut, ia jadi bahaya,” katanya.

Beliau bagaimanapun lega apabila tiada kecederaan dilaporkan berlaku sepanjang kes itu.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah gerai bazar Ramadan di Taman Keladi musnah ditimpa pokok besar manakala dua lagi dilaporkan mengalami kerugian selepas rosak dilanda ribut.

Dalam masa sama, kira-kira 10 khemah bazar Ramadan di Taman Sejati juga diterbangkan angin kuat.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Muda, Kapten PA Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang di tiga lokasi sekitar daerah termasuk Taman Keladi, Institut Kemahiran Mara Sungai Petani dan Kampung Baru Bakar Arang.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com