Motif Bersih Beri Anugerah Sengaja Mahu Malukan Pengerusi SPR


TUJUAN pertubuhan Bersih 2.0 memberi anugerah “hall of shame” dengan lima bintang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Hashim Abdullah bukan sekadar untuk mengejek.

Anugerah itu ialah taktik untuk memburukkan dan menjatuhkan kredibiliti SPR supaya mudah untuk ditentang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Apabila SPR tidak dipercayai lagi, mudahlah untuk mereka menghasut orang ramai turun berdemonstrasi.

Pada masa itu nanti, segala cerita lampu terpadam, “Bangla” mengundi, dakwat mudah dipadamkan akan tersebar dan ditelan bulat-bulat penyokong pembangkang.

Sudah tentu, sebelum itu akan tersebar dulu tinjauan pendapat mengatakan Pakatan Harapan (PH) akan menang walaupun tipis.

Mungkin akan ada juga mesej di Twiter atau kenyataan separa rasmi mendakwa sudah menang sambil memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) supaya tidak merampas keputusan.

Ini dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU13 lalu, menulis Tweet mengatakan Pakatan Rakyat sudah menang pada masa keputusan rasmi belum diumumkan.

SPR ialah pihak yang paling mudah dijadikan sasaran kerana badan ini menguruskan pilihan raya.

Kempen fitnah pembangkang juga telah semakin keras memburukkan SPR sejak beberapa pilihan raya yang lalu.

Semakin ramai termakan fitnah SPR menipu, semakin mudah mereka mengerah orang untuk turun berdemonstrasi.

Protes dan kekecohan inilah yang cuba dicetuskan oleh Anwar pada PRU13 melalui pesanan di Twitter pada malam pilihan raya dan siri demonstrasi besar-besaran selepas itu.

Inilah sebab kempen PH terfokus pada memprovokasi sentimen rakyat lebih daripada menerangkan dasar dan perancangan mereka seperti dilakukan oleh BN.

Sentimen kemarahan inilah yang boleh dipetik untuk terus mendorong orang ramai bencikan kerajaan dan SPR.

Semua pihak mesti waspada dengan tipu daya PH ini, agar tidak terpedaya dan akhirnya membuat keputusan yang merugikan negara. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com