Mokhzani Mahathir Nafi Miliki Petron, Tiada Kekayaan RM170 Bilion


LANGKAWI - Anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Mokhzani Mahathir menafikan dirinya memiliki kekayaan sebanyak RM170 bilion sebagaimana yang diminta pengesahan oleh Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin.

Tegas ahli perniagaan yang tersenarai sebagai salah seorang individu terkaya dunia itu, pertikaian tersebut adalah semata-mata dakwaan yang "karut" untuk dipercayai.

"Semua ni karut... Sekarang ni musim orang gila sikit pasal politik. Mereka buat tuduhan macam-macam.. tembak (teka) sahaja," katanya menafikan persoalan yang sering dibangkitkan terhadap kekayaan beliau.

Mokhzani berkata, beliau sebelum ini pernah dituduh sedemikian oleh pemimpin PAS, namun mereka gagal membuktikan tuduhan tersebut secara jelas selepas dicabar berbuat demikian.

Selain itu, beliau turut menyalahkan wartawan yang dikatakan tersilap petik kenyataannya berkenaan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga menyebabkan dirinya dituduh menghina penerima bantuan tersebut.

Mokhzani juga menegaskan bahawa dakwaan yang mengatakan beliau memiliki syarikat minyak Petron adalah tidak benar sama sekali.

Jelas beliau, abangnya Mirzan Mahathir sebenarnya yang terlibat dengan syarikat berkenaan, namun

"Itu tak betul.. tak betul. (Yang terlibat adalah) Abang saya, Mirzan.

"Tapi Mirzan ni dia tak terlibat dengan Petron di Malaysia," katanya sambil menuduh ahli UMNO sering menuduhnya memiliki syarikat minyak berkenaan.

Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan kekayaan anak-anak Mahathir yang membolot banyak kontrak GLC bernilai berbilion-bilion ringgit termasuk daripada Petronas menerusi syarikat Kencana Petroleum, milik Mokhzani.

Kata Anwar, Mirzan pula telah membeli sebuah syarikat arak, San Miguel, dengan harga RM2.9 bilion tunai sebelum membeli Esso Malaysia dengan harga RM1.7 bilion yang kemudian ditukar kepada Petron.

"Saya mau tanya ini negeri bapak you punya atau rakyat punya?!" jerit Anwar dalam satu ceramahnya yang tular di laman Youtube sebelum ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com