Mohd Najib Kejutkan Langkawi Dengan 18 Inisiatif Utama BN


LANGKAWI – Selepas mengumumkan pembangunan infrastruktur dan projek yang bakal memakmurkan penduduk Pulau Langkawi yang bernilai RM1.3 bilion, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan 18 agenda utama Barisan Nasional (BN) di sini, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, 18 inisiatif berkenaan adalah sejajar dengan hasrat BN yang komited mahu mengangkat Pulau Lagenda berkenaan ke arah pulau pelancongan yang maju dan terkemuka di pentas antarabangsa.

Malah tegas beliau, pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun itu juga diyakini mampu meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi kepada golongan berpendapatan tinggi pada masa akan datang.

"Kita bukan hanya ingin bangunkan industri pelancongan tetapi juga perniagaan, infra rakyat, gaya hidup, rekreasi dan pelbagai peluang untuk masa depan Langkawi yang lebih baik," ujar beliau ketika berucap di majlis Santai Industri Pelancongan Langkawi Bersama Perdana Menteri di sini malam tadi.

Inisiatif pertama yang diumumkan Perdana Menteri adalah pembinaan sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang bakal mempermudahkan segala urusan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk kelulusan permit atau lesen yang boleh dibuat dengan lebih cepat.

Kedua, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta menerusi oleh SME Bank dalam bentuk pembiayaan antara RM25,000 hingga RM250,000 kepada para usahawan Langkawi yang mengusahakan chalet, motel dan kedai runcit.

"Geran sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada 1,000 orang peniaga kecil yang akan diagihkan oleh persatuan-persatuan peniaga yang berdaftar bermula 1 Jun ini," ujar beliau tentang inisiatif ketiga BN di Pulau Mahsuri itu.

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pula akan melaksanakan agenda keempat menerusi peruntukan dana dalam bentuk geran sehingga RM10,000 kepada 200 orang usahawan Langkawi bagi membiayai perniagaan kecil-kecilan.

Jelas beliau, inisiatif kelima pula melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta untuk memperkasa Akademi Pelancongan Langkawi.

Sementara itu, inisiatif keenam pula adalah mewujudkan sebuah hub perniagaan di Pantai Chenang yang mengambil model Pasar Chatuchak di Bangkok sebagai tarikan pelancong dan tingkatkan peluang perniagaan di kalangan rakyat tempatan.

Selain itu, Mohd Najib mengumumkan inisiatif ketujuh untuk membina sebuah premium outlet juga akan dibina di sini menerusi pelaburan sektor swasta berjumlah RM200 juta selain penubuhan sebuah hospital swasta sebagai satu tarikan pelancongan kesihatan.

Berikut adalah senarai penuh 18 inisiatif yang diumumkan Mohd Najib yang menerima tepukan gemuruh daripada ribuan yang hadir di majlis makan malam, semalam.
1. Sebuah UTC akan dibina di Langkawi.

2. Peruntukan RM100 juta kepada SME Bank dalam bentuk pembiayaan RM25,000 - RM250,000 untuk pengusaha chalet, motel dan kedai runcit dengan kadar pinjaman 5% setahun (2% disubsidi oleh kerajaan, 3% dibayar oleh peminjam).

3. Geran RM5,000 kepada 1,000 peniaga kecil akan diagih melalui persatuan-persatuan peniaga, mulai 1 Jun 2018.

4. TERAJU memperuntukkan dana dalam bentuk geran sehingga RM10,000 kepada 200 usahawan kecil-kecilan bumiputera Langkawi menerusi NCER dan UPUK.

5. Akademi Pelancongan Langkawi diperkasa dengan peruntukkan RM12 juta, di mana asrama akan dinaik taraf dan dibina baru.

6. Sebuah hub perniagaan akan dibangunkan di Pantai Chenang mengambil model Pasar Chatuchak di Bangkok sebagai tarikan pelancong dan tingkatkan peluang perniagaan rakyat tempatan.

7. Pembinaan Langkawi Premium Outlet , pusat membeli belah barangan berjenama melibatkan pelaburan sektor swasta bernilai RM200 juta.

8. KPJ Hospital, dibawah naungan JCorp, setuju untuk membina sebuah hospital swasta menjadikan Langkawi pusat tarikan pelancongan kesihatan (Medical Tourisme).

9. Akan dibina sirkit motocross untuk anak-anak muda mengasah bakat sukan permotoran dan menarik penganjuran di peringkat antarabangsa.

10. Menyediakan Langkawi sebagai hub pelancongan berkonsepkan MICE (Meeting Incentive Convention Events) dengan penganjuran peringkat antarabangsa seperti PATA World Travel Mart, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan menjadikan Visit Langkawi 2020 bersama.

11. Pembesaran Lapangan Terbang Langkawi, jambatan udara "aero-bridge" dijangka siap sepenuhnya pada September dengan kapasiti meningkat daripada 1.5 juta kepada 3 juta setahun. Hanya teksi sahaja dibenarkan mengambil dan menghantar penumpang.

12. Langkah strategik menarik syarikat penerbangan asing melakukan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

13. Pakej istimewa akses wifi daripada Telekom Malaysia (TM) di lokasi umum seperti Pantai Chenang, Kompleks Jeti Point Kuah, Panorama Langkawi Gunung Mat Cincang dengan kadar 10 sen/jam. Percuma hingga akhir bulan Jun. Wifi dalam feri Langkawi. Highspeed wifi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Warga pendidik, pasukan beruniform di Langkawi pakej unifi RM59 tanpa had data, panggilan telefon, sms (harga asal RM79).

14. Kerjasama antara Syarikat Tencent dari China dan Tourisme Malaysia untuk hasilkan 40 buah video mempromosi Langkawi untuk tontonan 980 juta rakyat China dan 10 juta tontonan di Malaysia.

15. Tourisme TV akan diwujudkan untuk promosi sektor pelancongan di Langkawi. Slot 2 jam sehari akan diberikan eksklusif kepada Langkawi.

16. Dengan persetujuan Kerajaan Negeri, program pemutihan memberikan lesen perniagaan PBT kepada peniaga yang telah berniaga melebihi 3 tahun di Langkawi dan telah mendaftar dengan SSM. Semua operator pelancongan akan diberikan pelepasan pembayaran lesen selama 1 tahun dan permohonan perlu dibuat dalam tempoh 6 bulan ini dan terbuka kepada yang belum ada lesen atau sudah ada lesen.

17. Melatih 1,000 usahawan digital di Langkawi dengan kerjasama MDEC dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia sehingga hujung tahun ini.

18. Pemeliharaan eko-sistem di bawah jaringan UNESCO Geopark menjadi teras utama dalam memastikan trend Langkawi sebagai pusat pelancongan ekologi dan geologi. RM9.1 juta diperuntukkan antaranya untuk pembersihan sisa dan kumbuhan di pulau-pulau berdekatan dan Kilim GeoForest Park. 

Dalam majlis itu, Mohd Najib turut dianugerahkan sebagai "Bapa Transformasi Pelancongan Langkawi" oleh Persatuan Pelancongan Langkawi yang dianggotai oleh seramai 1,636 ahli tetap & 6,360 ahli bersekutu yang aktif dalam industri pelancongan di pulau ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksektufnya, Dato' Zainuddin Abdul Kadir, anugerah berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong daripada 1.5 juta kepada 3.67 juta dan menjana pendapatan penduduk tempatan sebanyak RM4.7 bilion sepanjang mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Turut di majlis berkenaan adalah Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, calon-calon BN untuk Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan DUN Air Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com