Mohamed Apandi Mulakan Cuti Tanpa Rekod 30 Hari


PUTRAJAYA - Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini memulakan cuti tanpa rekod selama 30 hari.

"Saya kini bercuti tanpa rekod selama 30 hari. Justeru, saya tidak akan hadir ke pejabat hari ini," kata Mohamed Apandi dalam pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada warga media sambil pada masa sama menegaskan beliau masih Peguam Negara yang berkhidmat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Mohamed Apandi telah diminta bercuti dan tugas beliau akan digalas oleh Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek, berkuat kuasa serta-merta.

Warga media berkumpul di perkarangan Pejabat Peguam Negara di Presint 4 di sini sejak 8 pagi tadi untuk melihat kelibat Mohamed Apandi hadir bertugas.

"Jangan buang masa berharga anda di Pejabat Peguam Negara. Sampaikan salam saya kepada semua rakan-rakan media di luar sana. Akan temui semua pada acara lain. Insya-Allah. Terima kasih semua," kata Mohamed Apandi yang mengetahui akan kehadiran anggota media di bangunan itu.

Mohamed Apandi hadir ke pejabat seperti biasa semalam walaupun Dr Mahathir pada sidang media Sabtu lepas berkata: "Pada masa ini negara tidak mempunyai Peguam Negara."- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com