Mohamad Nordin dilantik Ketua Pengarah JAKIM


KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, dilantik sebagai Ketua Pengarah yang baharu bermula Khamis ini.

Mohamad Nordin, 58, menggantikan Tan Sri Othman Mustapha yang bersara wajib pada 16 Mei ini.

Othman berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju meluluskan pelantikan Mohamad Nordin susulan penamatan tujuh tahun tempoh kontrak perkhidmatannya di JAKIM.

Katanya, Mohamad Nordin sudah menerima watikah pelantikan pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan sebagai Ketua Pengarah di Jabatan Perdana Menteri (JPM), 7 Mei lalu.

"Dengan kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan hal-ehwal Islam di Malaysia serta integriti tinggi dimilikinya, saya yakin beliau mampu meneruskan visi dan misi JAKIM untuk memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negara ini.

"Terima kasih atas kepercayaan kerajaan terhadap saya sebagai Ketua Pengarah JAKIM selama lebih tujuh tahun.

"Saya berdoa kerajaan khususnya perkhidmatan awam terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohamad Nordin mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Klang, Selangor.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (BA) Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Pengajian Islam (MA) Tamadun Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau juga pernah mengikuti Program Kepemimpinan di Oxford University, United Kingdom pada 2013.

Mohamad Nordin berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam bermula 31 Januari 1984.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hal-ehwal Islam melalui kariernya di pelbagai tempat dan bahagian sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com