Mengapa Tak Boleh Guna Saluran Media? - Dr Norlela


GEORGETOWN - Perang mulut antara dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR berterusan apabila Dr Norlela Ariffin semalam, mempersoal tindakan Dr Afif Bahardin menghalangnya bercakap dengan pihak media.

Dr Norlela yang juga ADUN Penanti berkata, tindakan Dr Afif memintanya menggunakan saluran parti bagi menyuarakan pandangan berkaitan isu pelantikan EXCO tidak boleh diterima, kerana ADUN Seberang Jaya itu turut menggunakan media bagi melobi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1.

Katanya, Dr Afif yang dilantik sebagai EXCO Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar dengan jelas menggunakan media dalam usahanya mendapatkan jawatan itu sebelum ini.

"Jika saya tidak boleh menggunakan media, perkara sama juga tidak wajar digunakan beliau ketika cuba melobi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 apabila kenyataan menyokongnya dikeluarkan ketua ranting PKR.

"Untuk pengetahuan, saya sudah menyuarakan pandangan mengenai barisan EXCO secara dalaman, namun tiada jawapan diberi mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Semalam, Dr Afif mempertikai tindakan Dr Norlela memberi kenyataan berhubung isu pelantikan EXCO kepada media dan memintanya menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan pandangannya.

Sebelum ini, Dr Norlela dipetik berkata, DAP yang menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri II dan enam EXCO.

Bagaimanapun PKR yang menang 14 kerusi DUN hanya mendapat jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan dua EXCO, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masing-masing menang dua kerusi tidak mendapat sebarang jawatan EXCO.

Perkara sama turut dinyatakan Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman yang menganggap barisan EXCO Pulau Pinang tidak menunjukkan keseimbangan antara parti.

Dr Norlela berkata, kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini adalah sebagai tanda soladiriti kepada ahli AMANAH dan PPBM yang berasa terpinggir apabila wakil mereka diketepikan negeri.

"Jawatan EXCO dikongsi secara bersama di negeri yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) termasuk di peringkat Pusat, tetapi Pulau Pinang masih mengekalkan status quo seperti yang diguna sejak 10 tahun lalu.

"Apa akan terjadi jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad datang ke Pulau Pinang dan bertanya di mana wakil PPBM dalam barisan EXCO?" katanya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com