Mendapan Bumi Besar Tarik Perhatian Pakar


WELLINGTON - Satu mendapan bumi yang boleh memuatkan empat buah bas dua tingkat dan memiliki panjang menyamai dua padang bola di ladang North Island berjaya menarik perhatian pakar gunung berapi New Zealand.

Ia terhasil susulan hujan lebat berhampiran pekan Rotorua dan meninggalkan kesan ketara pada landskap, termasuk mendedahkan ketulan batu dari 60,000 tahun lalu.

Pakar percaya hujan lebat itu telah menghakis pembentukan batu kapur bawah tanah berusia ribuan tahun, menyebabkan tanah itu runtuh dan melahirkan satu ngarai (canyon) yang besar.

"Ini agak menakjubkan dan ia lebih besar dari yang biasa saya lihat," kata pakar gunung berapi Brad Scott, sambil memberitahu ngarai itu memiliki kedalaman 20 meter serta berukuran 200 meter panjang.

Scott berkata, ladang ternakan tenusu itu berada di atas kawah gunung berapi tidur.

"Apa yang saya lihat di bahagian bawah mendapan itu ialah deposit gunung berapi berusia 60,000 tahun yang terkeluar dari kawah," katanya kepada TVNZ.

Peladang Colin Treman berkata, mendapan itu berlaku dalam tempoh semalaman minggu lalu dan disedari oleh seorang pekerjanya pada waktu awal pagi ketika sedang memeriksa lembu.

Walaupun kejadian seumpama itu biasa berlaku namun menurut beliau, ia adalah yang terbesar setakat ini dan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang ia dari berlaku. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com