Mat Sabu Tidak Setuju Kenyataan Rafizi


KUALA LUMPUR - Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mempertahankan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan AMANAH sebagai menteri kanan.

Susulan itu, katanya, beliau tidak bersetuju apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memberikan kenyataan kepada media bahawa pelantikan pemimpin tertinggi dilakukan Dr Mahathir tanpa perbincangan dan rundingan dengan PKR.

"Perdana Menteri memberikan kebebasan kepada parti komponen PH untuk mencalonkan nama bagi jawatan menteri lain.

"Jadi, terserah kepada Perdana Menteri untuk membuat pilihan," katanya memetik kenyataan yang diberi pada sebuah portal di sini, semalam.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu menjadi Menteri Pertahanan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memegang portfolio Menteri Kewangan dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti dipersetujui sebelum ini.

Mat Sabu berkata, Rafizi seolah-olah mahu menyatakan keputusan itu sebagai belum diputuskan dalam mesyuarat Presiden PH.

Mengulas mengenai portfolio baharunya itu, Mat Sabu berkata, beliau perlu banyak belajar, tetapi enggan mengulas mengenai kemungkinan memperkenalkan sebarang dasar pertahanan baharu.

"Kita akan berbincang dengan Perdana Menteri," katanya yang turut enggan menyatakan sama ada terdapat perubahan dasar mengenai pembabitan Malaysia dalam operasi ketenteraan diterajui Arab Saudi di Yaman.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com