Masyarakat Cina Tersinggung Pemimpin DAP Bersikap Biadap, Suka Maki Hamun


KUALA LUMPUR: Masyarakat Cina di negara ini tersinggung dengan dakwaan pemimpin DAP, Nga Kor Ming, kononnya mereka boleh menerima cara ceramah beliau yang berunsur maki hamun, kurang ajar, biadab dan tidak menghormati orang lain.

Jurucakap MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata masyarakat Cina secara keseluruhannya adalah komuniti yang baik dan dihormati, sekali gus tidak mungkin akan menerima cara biadab berkenaan.

Malah, beliau berkata, mereka amat terkejut dengan gurauan biadab Kor Ming terhadap calon pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dikatakan sedang menunggu ajal.

"Jika Kor Ming mahu membuat lawak mengenai seseorang lebih tua, berlawak mengenai Dr Mahathir bermain judi mahjong dengan mendiang Lee Kuan Yew selepas mati, atau menggelar Dr Mahathir sebagai kuda ditunggang, dia perlu melakukannya atas nama sendiri dan bukan mendakwa kononnya masyarakat Cina boleh menerima atau menyokong penghinaan seumpama ini.

"Penyokong DAP mungkin boleh menerima lawak biadab Kor Ming, maki hamun dan memberi gelaran tidak baik kepada seseorang, namun majoriti masyarakat Cina menolak sikap seumpama ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa satu klip video ceramah Kor Ming yang mencetuskan kontroversi, mulai viral dalam media sosial sejak Sabtu lalu.

Klip video berdurasi 1 minit 53 saat itu dimuat naik akaun Facebook digelar 'Gerak Perak' menunjukkan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berceramah dalam bahasa Cina dan ada terjemahan bahasa Melayu di bawahnya.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan tempat, masa dan tarikh ucapan itu dilakukan.

Berdasarkan terjemahan itu, Kor Ming menyatakan Dr Mahathir tidak akan hidup lama serta memberi mesej DAP menggunakan bantuannya untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com