Manifesto BN Perlis Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik


KANGAR - Tawaran Barisan Nasional (BN) Perlis untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, jika BN kekal mentadbir negeri itu, dilihat mampu menyelesaikan isu perumahan terutama dalam kalangan golongan muda yang masih belum memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Behor Lalang, Zainab Sabu berkata sebagai pemimpin masyarakat yang paling hampir dengan akar umbi, beliau sering menerima aduan dan rungutan rakyat yang ingin memiliki rumah sendiri namun tidak mampu untuk membelinya.

"Ramai yang tak mampu miliki rumah kerana harga yang mahal, hendak bina sendiri pula tidak ada tanah jadi mereka terpaksa menyewa sahaja.

"Setelah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan pembinaan 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam Manifesto BN Perlis baru-baru ini, ia memberi sinar baharu kepada rakyat," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Selain itu, katanya, tawaran BN untuk melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di setiap Parlimen juga sangat baik kerana rakyat tidak perlu lagi keluar jauh dari tempat asal mereka semata-mata untuk memiliki rumah idaman masing-masing.

Seorang pereka grafik, Hanis Kamis, 36, berkata isu perumahan di Perlis sangat kritikal memandangkannya penawarannya yang terhad di samping nilainya yang sangat tinggi berbanding di negeri lain di utara tanah air.

"Ada yang terpaksa membeli rumah di luar Perlis seperti Kedah, jadi dengan penambahan projek perumahan di bawah program kerajaan di Perlis, saya yakin ia akan memberi peluang lebih besar kepada rakyat untuk mempunyai rumah sendiri," katanya.

Sementara itu, pembeli rumah PR1MA di Padang Siding, Arau dekat sini, Lee Pow Sin, 30, berkata peluang memiliki rumah menerusi program kerajaan itu sangat menguntungkan beliau dan keluarganya.

"Saya memuji inisiatif kerajaan membina rumah PR1MA kerana pembeli bayar lebih murah berbanding beli daripada pemaju biasa," katanya.

Kakitangan swasta itu berkata, dengan adanya projek PR1MA, beliau mampu memiliki rumah pertama yang selesa dengan nilai hanya RM195,000 bagi rumah teres satu tingkat.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com