Mangsa Kebakaran Di Pokok Sena Terima Bantuan Awal


ALOR SETAR – Enam keluarga mangsa daripada 10 rumah kedai yang musnah dalam kebakaran berhampiran Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad di Pokok Sena dekat sini, awal pagi semalam, menerima bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Kedah, Azmi Abd Karim berkata bantuan itu berupa antaranya wang tunai RM200, pakaian dan selimut disampaikan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, yang turut melawat serta memberi sokongan moral kepada mangsa.

“Enam mereka itu menetap di rumah kedai tersebut dan kita juga akan beri bantuan pemulihan bencana kepada rumah kedai berkediaman ini maksimum RM10,000 atau mengikut penilaian kadar sebenar jabatan,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan berkenaan.

Setakat ini, Azmi berkata pihaknya masih dalam proses memastikan status penghuni di premis berkenaan kerana empat lagi keluarga mangsa belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu bagi mengesahkan mereka turut terjejas.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, sebuah lagi rumah kedai kosong mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus akibat kebakaran tersebut. Kesemua rumah kedai berkenaan merupakan rumah kedai dua tingkat kelas C yang diperbuat daripada kayu dan papan.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata pejabat Parlimen Pokok Sena akan memberi bantuan susulan dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

“Saya sangat bersimpati dengan musibah yang menimpa mereka, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kita di pihak kerajaan akan bersama Pejabat Daerah Pokok Sena mengambil langkah-langkah perlu untuk membantu mangsa terlibat.

“Buat masa ini, mangsa yang terlibat menetap sementara di rumah saudara-mara dan JKM juga ada rumah transit untuk menempatkan mereka jika mereka mahu,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kedai insurans How Kim Hooi, 64, berkata beliau kerugian lebih RM300,000 apabila rumah kedai serta peralatan seperti komputer riba, kerusi urut, lima penghawa dingin dan wang tunai musnah dijilat api.

Beliau berkata kejadian itu disedari pada 4.32 pagi selepas menerima panggilan daripada adiknya memberitahu rumah kedai miliknya itu bersama sembilan yang lain hangus terbakar.

“Selalunya saya berada di kedai sehingga lewat pagi, tetapi penggera berbunyi di rumah saya di Alor Setar pada 2.32 pagi dan kami balik untuk mematikan penggera sebab jiran kata bising. Saya memberitahu isteri untuk ke kedai semula pada 5 atau 6 pagi dan terus masuk kerja.

“Namun nasib kami malang apabila dua jam kemudian, adik saya telefon beritahu kedai kami terbakar. Kami terus ke sana tetapi sudah terlambat apabila semua dokumen penting insurans, pakaian dan barangan lain termasuk peti besi yang menyimpan sejumlah wang tunai terbakar,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com