Malaysia Mundur Jika Pakatan Harapan Memerintah - Hadi Awang


ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa negara Malaysia akan mundur sekiranya pakatan pembangkang yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad diberi mandat untuk mentadbir jika menang Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

Hal ini kerana gabungan yang diketuai DAP itu mahu melantik bekas Perdana Menteri tersebut menerajui Putrajaya sebelum jawatan nombor satu negara diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sekiranya Dr Mahathir serahkan jawatan itu (Perdana Menteri) kepada Anwar... ia tetap akan jadi langkah ke belakang kerana kedua-dua individu terbabit pernah bergandingan dalam Kerajaan Persekutuan dan UMNO sebelum menyertai pembangkang.

"Kita juga sukar hendak bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana PKR dan DAP bersekongkol jatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seorang tokoh dunia korporat yang berjaya mengurus kewangan dengan baik tetapi dituduh sebagai kedekut.

"Khalid memaklumkan beliau enggan melayan permintaan pihak tertentu yang mahukan wang kerana semua wang terbabit milik rakyat dan setiap wang dibelanjakan mesti ada bukti apa yang dibelanjakan.

"Perkara ini saya maklumkan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham ketika itu, bersetuju tindakan Khalid maka sebab itulah, PAS mempertahankan Khalid ketika cuba ditumbangkan.

"Bagaimanapun, Khalid akhirnya diturunkan juga dengan langkah Kajang (oleh PKR)," katanya  memetik laporan BH Online.

Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah PRU14 : Malaysia Sejahtera di Medan Ilmu Sungai Baru Gunong, Alor Setar malam tadi.

Selain itu, Abdul Hadi merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang susulan peletakan jawatan Lee Chin Chen secara tiba-tiba pada Januari 2014, tidak sampai setahun selepas memenangi kerusi berkenaan dalam PRU-13 pada Mac 2013.

"Langkah Kajang" dikritik kerana menyalahgunakan sistem pilihan raya yang menyaksikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding untuk mengambil alih kerusi tersebut.

Jelasnya, kemenangan Wan Azizah mencetuskan krisis politik Selangor apabila Khalid enggan melepaskan jawatan Menteri Besar sehingga membawa kepada pemecatannya daripada PKR dan jawatannya diambil alih oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas mengenai pertanyaan tuduhan pakatan pembangkang bahawa PAS lemah di Kedah, Abdul Hadi mendakwa kegagalan parti Islam terbabit memerintah negeri jelapang padi adalah kerana strategi Dr Mahathir sewaktu berkuasa sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Mengapa PAS tak menang?.. ini kerana strategi Mahathir yang buat kawasan, menghalang PAS untuk menang tetapi perubahan yang berlaku pada hari ini, Insya Allah PAS boleh menang. - Kedahnews.com

#TolakPakatan
#PakatanDAP
#DosaDosaMahathir
#FakeNews
#JomBN
#BersamaBN
#UndiBN

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com