Makan Sebiji Telur Sehari Elak Sakit Jantung, Strok


PARIS - Selama berdekad, pakar memberi amaran, memakan telur meningkatkan paras kolesterol jahat. Namun satu kajian hari ini berkata, makan sebiji telur sehari sebenarnya mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.

Ketika pakar luar memberi amaran supaya tidak terlalu mempercayai kajian itu, penulisnya mendakwa, golongan dewasa China yang makan sebiji telur sehari memiliki risiko rendah penyakit kardiovaskular (CVD).

Mengkaji setengah juta golongan dewasa sihat berusia antara 30 dan 79 tahun sejak hampir sembilan tahun lalu, penyelidik merumuskan, 'dibandingkan dengan bukan pengguna, pengambilan harian telur dikaitkan dengan risiko rendah CVD.'

Pasukan penyelidik China-British menulis dalam jurnal Heart, risiko strok berdarah adalah 26 peratus lebih rendah di kalangan mereka yang kerap makan telur.

Malah, pengambilan harian telur dikaitkan dengan 18 peratus risiko lebih rendah kematian akibat CVD serta 28 peratus risiko rendah untuk kematian akibat strok hemoragik (berdarah).

CVD, gangguan salur darah dan jantung adalah punca utama kematian dan kecacatan di seluruh dunia, termasuk di China.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 17.7 juta orang maut akibat CVD setiap tahun, hampir satu pertiga daripada kematian di seluruh dunia.

Lapan puluh peratus kematian CVD disebabkan serangan jantung dan strok.

Merokok, tidak cukup bersenam dan makan diet tidak sihat yang tinggi kandungan garam serta kurang buahan segar serta sayuran, meningkatkan risiko itu.

Telur kaya dalam diet kolesterol, sekian lama dikaitkan dengan risiko tinggi CVD namun mengandungi protein penting dan vitamin. -AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com