Majlis Pelantikan, Angkat Sumpah MB Kedah Petang Ini


ALOR SETAR - Majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang ke-13 di Istana Anak Bukit, di sini, akan berlangsung petang ini selepas mendapat perkenan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Elmi Yusoff, sebentar tadi.

"Majlis terbabit akan diadakan di Istana Anak Bukit, di sini, jam 3 petang," katanya.

Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menubuhkan kerajaan baharu di negeri ini selepas memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Hingga kini, calon Menteri Besar Kedah masih menjadi teka-teki apabila PH belum memaklumkan individu bakal mengisi jawatan itu, walaupun nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir disebut-sebut sebagai calon utama.

Pada pilihan raya kali ini, PKR meraih lapan daripada 18 kerusi DUN dimenangi PH, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (lima), Parti Amanah Negara (PAN) (tiga) dan DAP (dua).

Keputusan PRU-14 di Kedah turut menyaksikan PAS memenangi 15 kerusi DUN dan Barisan Nasional (BN) (tiga).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com