Main Bola Di Bulan Puasa Tak Menguntungkan


KUALA LUMPUR - Kantung pasukan Liga Malaysia dijangka kempis susulan sambutan dingin penyokong terhadap perlawanan dilangsungkan sepanjang Ramadan.

Beberapa perlawanan yang sudah berlangsung setakat ini menyaksikan stadium agak lengang dengan jumlah penonton menurun lebih 50 peratus.

Contohnya, hanya kira-kira 5,000 hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa lalu.

Angka itu jauh tersasar daripada jangkaan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang berharap sekurang-kurang 15,000 penyokong membanjiri stadium yang mampu memuatkan 25,000 penonton, apatah lagi pertembungan kedua-dua pasukan dilabel sebagai perlawanan bertaraf A.

Aksi Terengganu FC menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada hari sama juga hanya mampu menarik kira-kira 3,000 peminat.

Persatuan Bolasepak Perak (PFA) pula terpaksa menawarkan tiket percuma untuk memikat penyokong ke Stadium Perak dalam pertemuan 'adik-abang' dengan PKNP FC, baru-baru ini.

Ia adalah kesan awal dihadapi pasukan apabila beraksi pada bulan puasa sebagaimana dikatakan bekas pemain kebangsaan, Radhi Mat Din yang mengkritik keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneruskan liga ketika Ramadan.

Hakikat ini diakui Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar yang merujuk kepada perlawanan Kedah-Pahang dengan menganggapnya sebagai merugikan.

"Saya yakin jika perlawanan itu dilangsungkan pada bulan biasa, stadium akan penuh, sekurang-kurangnya mencapai sasaran 15,000 penonton kerana berdasarkan rekod, rating perlawanan Kedah-Pahang sentiasa tinggi.

 "Apatah lagi Kedah sedang berada dalam momentum kemenangan sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini. Malah, penyokong kami dianggap antara peminat bola sepak tegar yang sentiasa datang memberi sokongan.

"Tapi, bila dilangsungkan pada bulan puasa, sambutan memang mengecewakan kerana penyokong lebih memberi tumpuan kepada solat tarawih walaupun waktu sepak mula dipinda kepada pukul 10 malam.

"Kutipan hasil jualan tiket banyak membantu kewangan persatuan tapi jika begini keadaannya, poket kami boleh kempis. Itu baru satu perlawanan, bayangkan jika pertemuan lain selepas ini turut mengalami nasib sama," kata Shaharol Niza.

Kedah bakal menjadi tuan rumah untuk dua lagi perlawanan sepanjang Ramadan, melayan kedatangan Melaka United pada 1 Jun dan Kelantan pada 5 Jun.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com