Mahdzir, Azalina Antara Kunjungi Najib


KUALA LUMPUR – Dua Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Mahdzir Khalid antara individu yang dilihat mengunjungi kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini semalam.

Kenderaan jenis Range Rover yang membawa Azalina yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat memasuki perkarangan kediaman itu pada 10 pagi dan beredar kira-kira 40 minit kemudian.

Mahdzir pula yang juga bekas Menteri Pendidikan tiba di kediaman berkenaan sejurus selepas Azalina pulang dan meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Turut mengunjungi bekas presiden UMNO tersebut ialah Pengerusi NGO Selangor Nazilah Idris yang meluangkan masa kira-kira 20 minit di situ.

“Alhamdullilah, Najib kelihatan sihat ketika pertemuan tadi. Walaupun dilanda dengan pelbagai dugaan beliau tetap tenang menghadapinya,” kata Nazilah kepada pemberita.

Kediaman Najib terus menjadi tumpuan pengamal media dengan kira-kira 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berkampung di situ sejak 6 pagi tadi, menantikan perkembangan terbaharu berhubung penyiasatan yang dijalankan oleh polis terhadap bekas pengerusi Barisan Nasional terbabit.

Awal pagi tadi, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan di sini yang dipercayai berkaitan bekas perdana menteri itu dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga unit kondominium di kawasan yang sama.

Najib dan Rosmah telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lepas, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan siasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com