Mahathir, Nawawi Masing-Masing Punya Kelebihan


MENYINGKAP mitos rakyat pulau legenda Mahsuri yang pernah disumpah tujuh keturunan kemudian bertukar wajah menjadi pulau peranginan bebas cukai terkenal dan kini nama Langkawi menjadi topik bualan hangat rakyat Malaysia kerana calon Parlimennya juga ‘panas’.

Kerusi panas Parlimen Langkawi menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (Harapan), Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad dinamakan bagi merebut kerusi Parlimen P4 itu.

Jika dinilai secara kasarnya, pengundi Langkawi bukan hanya sekadar memilih wakil rakyat untuk membawa suara mereka ke Parlimen, sebaliknya tugas yang mereka galas lebih berat iaitu, memilih Perdana Menteri.

Hal ini susulan, blok pembangkang, Harapan menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ketujuh sekiranya mereka berjaya menakluk Putrajaya dalam pertempuran PRU14.

Pilihan raya kali ini digelar ‘ibu’ segala pilihan raya yang bakal membuktikan kerajaan mana menjadi kepercayaan rakyat Malaysia selepas beberapa siri skandal dan isu kontroversi yang berlaku dalam negara.

Kerusi Parlimen Langkawi menjadi panas apabila Mahathir yang dahulunya mengemudi negara selama 22 tahun bersama BN dan secara tidak langsung menjadi arkitek pembangunan pulau bebas cukai itu, maka Mahathir dan Langkawi sungguh sinonim.

Itu dulu, hari ini Mahathir telah bertukar ‘kapal’ dan memilih menjadi nakhoda parti pembangkang, Harapan dan memutuskan untuk berentap melawan anak buahnya, Nawawi di Langkawi.

Ia memang sesuatu yang janggal bagi pandangan orang lain tetapi, bacaan politik Mahathir tidak begitu, beliau menjangkakan dengan jasa budi yang ditaburnya membangunkan pulau legenda itu menjadi lebih prestij, sebagai bekalan modal buatnya meraih undi rakyat di situ.

Nawawi serba salah

Manakala, Nawawi pula mengakui keputusan Pengerusi Bersatu itu bertanding di Langkawi menyebabkan beliau serba salah.

Malah Nawawi secara jujur masih mengakui kehebatan kepimpinan Mahathir dan hubungan baik antara mereka berdua menyebabkan pertandingan di pulau bebas cukai itu menyukarkannya.

Bagaimanapun, Nawawi tidak sesekali menyerah kalah, beliau tetap mara ke gelanggang tempur dan beranggapan Mahathir bukan calon tepat untuk membela nasib rakyat kerana usianya yang lanjut.

Dua calon sama kuat

Sementara itu, pensyarah politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pengundi di Langkawi kini dalam dilema untuk memilih antara Mahathir dan Nawawi.

“Nawawi penyandang kerusi Parlimen, beliau sudah tentu ada sokongan di peringkat akar umbi BN.

“Namun Tun M sebagai orang yang dikenang jasanya kerana membangunkan Langkawi semasa menjadi Perdana Menteri dulu,” katanya.

Bagaimanapun Azizuddin meramalkan kedua-dua calon itu sama kuat namun kelebihan akan berpihak kepada orang yang paling lama berjasa.

Selain itu, penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussain pula, menyatakan bahawa pengundi Langkawi berdepan dengan pemilihan antara politik mengenang budi dengan politik pembangunan.

Begitu juga pendapat dilontarkan, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Tun Mahathir umpama ikon pembangunan Langkawi yang sangat dekat dengan penduduk pulau itu dan sudah tentu mereka terhutang budi kepada beliau.

“Tun Mahathir telah ubah Langkawi dari segi segi fizikal, infrastruktur dan ekonomi. Pengaruhnya sangat besar kepada penduduk Langkawi.

“Jangkaan kasar saya dengan sentimen pengundi di Langkawi, Tun Mahathir mampu menawan hati mereka dengan nisbah 60:40. Hal ini kerana, masih ada kelompok penyokong tegar BN, jika tidak, tidak mungkin Nawawi mampu meraih lebih 11,000 majoriti pada pilihan raya lalu,” katanya.

Tambah Ahmad Marthada, analisis Harapan menempatkan Tun Mahathir di Langkawi kerana potensi boleh menang yang tinggi terutamanya faktor kedekatan beliau dengan masyarakat Langkawi.

“Harapan tidak mahu Tun Mahathir tewas, jadi Langkawi kerusi terbaik untuk beliau menangkan blok pembangkang itu,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com