Mahathir Mulakan Gerakan, PKR Mula Panik


SUASANA dalam PKR mula tidak tenang, malah ramai yang sudah mula panik dengan gerakan-gerakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 diumumkan, persaingan dalaman antara dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya sudah boleh dikesan.

Mahathir mahu segera mengangkat sumpah sebagai perdana menteri untuk menyusun kabinet baharu.

Satu lantikan yang menunjukkan “loyalist” Mahathir diletakkan di tempat penting ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik memegang Kementerian Dalam Negeri.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sudah boleh dijangka, dan ini boleh memberikan kelegaan sementara bagi PKR.

Tetapi Rafizi Ramli, orang kanan Anwar telah bangkit mempertikaikan keputusan Mahathir yang didakwa tiada konsensus dan belum muktamad.

Rafizi ditempelak beberapa orang pemimpin dalam PH, malah Mohamad Sabu turut mengatakan pelantikan anggota Kabinet ialah hak perdana menteri.

Tetapi di kalangan DAP juga ada yang bimbang dengan gerakan Mahathir dan turut sama menyokong pandangan Rafizi.

Ini semua tidak dapat menyekat Mahathir yang terus membuat keputusannya sendiri, dan dengan kadar yang segera.

PKR dan juga komponen kecil PH, Parti Amanah Negara (PAN) berasa semakin dipinggirkan dalam pembuatan keputusan selepas PRU14, keputusan melibatkan pembentukan kerajaan baharu.

Selain PKR yang kesal dengan lantikan tiga menteri oleh Mahathir, PAN berang dengan jawatan menteri besar di Johor, Perak dan Kedah yang semuanya daripada (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kedah dapat diterima kerana PPBM menguasai negeri itu dan pelantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir seperti memulangkan semula jawatan itu kepada beliau.

Di Johor, PAN sudah berharap untuk berkuasa sebagai menteri besar, tetapi wakil PPBM yang terpilih.

Di Perak, lompat parti atau sokongan daripada ADUN UMNO kepada PH juga telah membolehkan PPBM menduduki kerusi menteri besar.

Lompat parti juga dibimbangi oleh rakan PH lain, PKR dan DAP, kerana bakal menambahkan kerusi PPBM.

Penambahan kerusi PPBM ini sudah berlaku apabila parti pimpinan Mahathir itu berjaya menguasai Johor dan Perak walaupun PAN asalnya mempunyai kerusi yang lebih banyak.

PKR dan PAN sudah menunjukkan penentangan terhadap kesediaan Mahathir menerima lompatan dari UMNO atau komponen BN lain.

Bagaimanapun hujah moral ini amat rapuh kerana PKR dan PAN sendiri mengamalkan dan menyokong taktik lompat parti.

Penentangan mereka terhadap lompat parti oleh ADUN BN kali ini disebabkan ia tidak memberi kelebihan kepada mereka.

Pertengkaran di media sosial Facebook telah menampakkan kekecewaan yang jelas di pihak PKR apabila Mahathir menguasai dan mendominasi pembuatan keputusan.

Ramai dalam kalangan mereka sudah bimbangkan kemungkinan muncul “BN 2.0” yang akan menewaskan mereka.

Pada masa yang sama, sekumpulan dalam PAN sendiri telah menunjukkan sokongan kuat kepada Mahathir, dan menunjukkan kemungkinan akan menentang PKR dan agenda Anwar. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com