Mahathir Disiasat Berhubung 'Berita Palsu'


KUALA LUMPUR - Pemimpin pakatan pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung dakwaan pesawat sepatutnya membawa beliau ke Pulau Langkawi, Kedah, disabotaj pihak tertentu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sehingga semalam, kes itu adalah salah satu daripada lapan kertas siasatan (IP) yang dibuka pihaknya membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sejak petang Sabtu lalu.

"Kertas siasatan yang kita buka setakat hari ini adalah lapan kes kesalahan ketika kempen dari 28 April hingga hari ini. Tiga kes membabitkan khianat dengan menceroboh yang disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

"Satu kertas siasatan dibuka membabitkan khianat dengan api, bakar. Satu kes mengikut Akta Antiberita Tidak Benar membabitkan Tun M kata kapal terbang beliau disabotaj, satu kes Kertas Enkuiri Polis (KEP)," katanya ketika sidang media sejurus Program Peningkatan Kesedaran Pencegahan di Balai Trafik Jalan Tun HS Lee, di sini, pagi kelmarin.

Mazlan berkata, sehingga kini pihaknya menerima 66 permohonan permit mengadakan ceramah untuk berkempen dari pelbagai parti politik yang bertanding pada PRU kali ini.

"Bagaimanapun, kami membuka dua kertas siasatan membabitkan dua ceramah yang tidak mempunyai permit. Ia termasuk dalam lapan kertas siasatan yang dibuka pihak kami," katanya.

Ditanya mengenai persediaan pihaknya menjelang proses pengundian awal pada Khamis ini, beliau berkata, pihaknya bersiap sedia dengan kekuatan 437 petugas di semua 23 pusat mengundi di seluruh ibu kota.

"Untuk persediaan undi pos, semua tempat pengundian awal akan dikawal dan dijaga seramai 437 orang. Saya juga memantau pegawai dan anggota untuk turun menjalankan tanggungjawab mereka kerana ia penting bagi kita," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya melarang sama sekali anggota atau pegawai untuk terbabit dalam sebarang kempen parti politik sambil menjelaskan warga polis tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com