Luahan Sayu Akim Untuk Ibu Bikin Netizen Sebak


SALAM takziah kami ucapkan buat penyanyi, Akim Ahmad di atas pemergian ibunya iaitu Aminah Bahari yang telah kembali menghadap Ilahi pada Sabtu lalu.

Ternyata, kehilangan wanita paling disayangi itu memberi duka berpanjangan selain turut merubah rutin harian suami kepada bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7), Stacy itu.

Mengakui masih berduka dengan kehilangan ibu tercinta, Akim meluahkan rasa hatinya menerusi sebuah entri terbaru di laman Instagram pada Isnin.

Memetik entri berkenaan, Akim memuat naik gambar bersama arwah ibunya serta sebuah catatan yang meruntun hati ramai.

“Di suatu hari kita pasti akan bertentangan, di suatu hari kita pasti akan berpimpin tangan, di suatu hari kita pasti akan berpelukan, di suatu hari kita pasti akan bercumbuan, di suatu kita akan tersenyum dan bergelak tawa bersama.

“Yakin abang satu hari nanti kita akan bersama. Satu hari nanti akan tiba, tidak sabar rasa menunggu masanya,” tulis Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad.

Catatan Akim itu ternyata telah mengundang rasa sebak dan hiba dalam kalangan netizen yang mana rata-rata meminta penyanyi itu terus kuat dan tabah selain mengucapkan takziah atas kehilangan tersebut.

Malah, ada juga dalam kalangan mereka berkongsi kisah pemergian orang tersayang yang telah dijemput menghadap Sang Pencipta serta sempat menitipkan kata-kata semangat buat penyanyi itu.

Terdahulu, vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu pernah meminta pengikut dan peminat supaya mendoakan kesihatan ibunya, tanpa menjelaskan penyakit dihadapi wanita terbabit. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com