Lima Kampung Di Baling Dilanda Banjir Kilat


BALING - Kediaman 22 keluarga membabitkan lima kampung dinaiki air sedalam 0.5 meter dalam kejadian banjir kilat awal pagi ini.

Hujan lebat selama tiga jam sejak 10 malam tadi, menyebabkan rumah penduduk mula dinaiki air sekitar jam 1 pagi.

Antara kampung yang terbabit adalah Kampung Siput terdiri enam keluarga, Banggol Derom (2), Haji Yunus (2), Bukit Hitam (6), dan Kampung Pajak (6).

Setiausaha Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA), Mohd Faizol Ab Aziz, berkata, hujan lebat lebih tiga jam menyebabkan rumah penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berdekatan Sungai Ketil mudah dilimpahi air.

Menurutnya, air mula naik jam 1 pagi di beberapa kampung di mana anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah dikerah membuat pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat.




"Selain APM, Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu mangsa.

"Walaupun air sudah mula surut tetapi anggota penyelamat masih memantau berikutan cuaca mendung dan bimbang akan berlaku banjir," katanya.

Beliau turut menasihat penduduk yang tinggal di kawasan rendah berjaga-jaga dan berpindah ke tempat selamat sekiranya air masuk ke rumah mereka.

Penduduk, Wahidah Hassan, 36, dari Kampung Banggol Derom, berkata, hujan lebat selama tiga jam menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke rumahnya.

Katanya, ketika itu dia sedang mengemas di dapur dan menyimpan barang-barang ke tempat yang tinggi kerana bimbang air masuk ke rumah.

"Saya bersiap awal apsbila hujan berlarutan lebih dua jam kerana bimbang dinaiki air.

"Kedudukan rumah saya yang tidak jauh dengan Sungai Ketil selalu terdedah dengan banjir sekiranya hujan lebat," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com