LGE Kewangan, Muhyiddin KDN, Mat Sabu Pertahanan


AKHIRNYA Melayu hilang penguasaan selama 44 tahun ke atas Kementerian Kewangan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang terpalit skandal rasuah diumum sebagai menterinya.

Pengumuman oleh Perdana Menteri tertua di dunia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu dibuat dalam sidang akhbar di ibu pejabat PPBM di Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor semalam.

Untuk rekod kali terakhir Menteri Kewangan dari kalangan kaum Cina dipegang oleh Presiden MCA yang ketiga, Tun Tan Siew Sin antara 1959 sehingga 1974 semasa era pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.

Sebelum itu, jawatan berkenaan disandang oleh Tun Henry Lee Hau Shik selama dua tahun sahaja sejak negara mencapai kemerdekaan dari penjajahan British ketika zaman pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Mahathir dalam pada itu turut menyatakan hanya tiga nama menteri kanan Kabinet dapat diumumkan baki tujuh menteri lagi akan diumum pada minggu hadapan bagi melihat kesesuaian dan kelayakan mereka terlebih dahulu.

Selain Guan Eng, Mahathir hari ini turut membuat kejutan apabila mengumumkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

“Saya meminta daripada setiap parti dalam komponen PH untuk mencadangkan tiga nama calon mereka kepada saya bagi diberi pertimbangan untuk jawatan menteri sebagai anggota jemaah Kabinet Persekutuan.

“Kita tidak mahu barisan Kabinet yang terdiri daripada satu bangsa sahaja selain mempunyai wakil daripada keempat-empat parti gabungan,” kata perdana menteri merujuk kepada komponen PPBM, PKR, DAP dan PAN.

Wakil calon dari Sabah dan Sarawak juga bakal dilantik dalam Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Mahathir dan beliau turut menegaskan bahawa pengumuman barisan Kabinet akan dibuat pada bila-bila masa sahaja.

Beliau turut mengumumkan Majlis Penasihat dianggotai oleh pakar ekonomi dan ahli akademik termasuk Tan Sri Zeti Akhtar, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Robert Kuok, Dr. Jowo Kwame Sundaram dan Tan Sri Hassan Merican.

Diketuai oleh Daim yang juga bekas menteri kewangan era pemerintahan Mahathir, majlis itu bertanggungjawab dalam merangka dan membentuk prasarana ekonomi negara untuk 100 hari pertama pentadbiran beliau sendiri.

Sekretariat Majlis Penasihat tersebut akan diselia pula oleh pakar ekonomi tempatan, Dr Muhammed Abdul Khalid dan ikon wartawan tanah air, Datuk A. Kadir Jasin. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com