'Lepas PRU, Hilang Tak Nampak Bayang'


KLUANG - Calon pembangkang biasanya hanya muncul ketika hampir tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) dan menghilang selepas itu terutama apabila mereka kalah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiada apa yang istimewa pada pembangkang selain daripada menabur janji tidak masuk akal dan tidak mampu ditunaikan walaupun DAP memilih calon Melayu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh.

Katanya, penduduk Paloh tidak mengenali calon itu walaupun tinggal di Kluang kerana hanya bertugas sebagai pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kluang sebelum ini iaitu Liew Chin Tong.

"Saya percaya rakyat di sini tidak akan terpedaya dengan pertimbangan sementara mereka untuk memancing undi kerana apa yang disuarakan sudah dilaksanakan dan diwujudkan untuk masyarakat.

"Politik kebencian yang menjadi keutamaan dalam tindak-tanduk pembangkang akan memakan diri kerana rakyat mulai sedar apabila semua kebaikan dan pembangunan setempat yang dirancang dijadikan isu kempen pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal di Kampung India Paloh dekat sini, pada Ahad.

Yang turut hadir, calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R Vidyananthan, Calon DUN Paloh, Teo Yap Kun serta ketua masyarakat setempat.

Hishammuddin berkata, pembangkang tidak melakukan apa-apa kerja di Paloh manakala jentera kerja Barisan Nasional (BN) sentiasa bersama rakyat sebaik tamat PRU-13.

Sementara itu, beliau berkata, majlis pecah tanah hari ini adalah gambaran jelas usaha pihaknya membela nasib anak muda kaum India di Paloh.

"Ia membuktikan wakil rakyat yang dipilih sebelum ini sentiasa mendengar denyut nadi masyarakat bagi memastikan rakyat berbilang kaum sentiasa mendapat pembelaan.

"Untuk itu, kita harap masyarakat setempat sedar siapa sebenarnya wakil rakyat yang harus menjadi pilihan agar setiap perancangan pembangunan di Paloh dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com