Lawatan Ke Baling 20 Tahun Lalu Ubah Haluan Hidup Azeez


BALING - Kira-kira 20 tahun lalu, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim tidak pernah terfikir untuk terjun ke dalam dunia politik.

Beliau ketika itu terlalu sibuk menguruskan perniagaannya di ibu negara sehinggalah pada satu hari apabila rakannya menjemput dia ke Baling bagi melihat dan memberi bantuan kepada sebuah sekolah agama yang musnah dalam kebakaran.

Sejak hari itu hatinya begitu tersentuh dengan penduduk Baling yang jauh ketinggalan dan majoriti hidup di bawah paras kemiskinan, perkara itu diceritakan oleh isteri beliau, Datin Seri Khadijah Mohd Noor.

Selepas menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan Abdul Azeez mempunyai perancangan yang besar untuk memajukan Baling termasuk lima teras yang dirangka oleh beliau.

Menurut Abdul Azeez, Baling dikurniakan kawasan yang sangat strategik iaitu di kawasan Bayu terdapat pelbagai tarikan pelancongan seperti gunung yang cantik, air terjun serta air panas.

Oleh itu jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Bayu, Mohamed Noor Mohamed Amin perlu memikul tanggungjawab bagi memajukan pelancongan di kawasan berkenaan.

Baling berpotensi menjadi ikon pelancongan terkemuka memandangkan permukaan geografinya unik berlatar belakang gunung dan kawasan hijau yang masih terpelihara cantik.

Abdul Azeez berkata, Baling mempunyai potensi besar jika industri pelancongannya diketengahkan dan pada masa sama akan menyumbang pembangunan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Sememangnya kami ada perancangan strategik untuk menaikkan daerah Baling sebagai pusat pelancongan, hutan disini banyak, air terjun bersih dan kawasan hijau disini masih terpelihara.

“Di sini juga banyak kawasan agro, jadi ia suatu yang unik untuk mengetengahkan sektor pertanian bersama-sama industri pelancongan,” katanya.

Bagi Dewan Undangan Negeri Kupang, Harun Abdul Aziz akan bertanggungjawab memajukan kawasan berkenaan sebagai hab pertanian bersesuaian tanah yang subur di seluruh daerah tersebut.

Di Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil, katanya, akan dijadikan pusat perindustrian jika terpilih Datuk Khairul Azhar Abdullah perlu bekerja keras merealisasikan pelan tersebut.

Selain itu, tiga manifesto utama yang diperjuangkan iaitu membina Masjid Daerah, Hospital Pakar dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hampir menjadi nyata.

Abdul Azeez juga meletakkan lima teras sebagai rangka kerja untuk rakyat Baling, iaitu berkaitan pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, perumahan dan membasmi penyalahgunaan dadah.

“Berkaitan pendidikan, saya mahu ubah rakyat Baling supaya mendapat kualiti pendidikan yang terbaik dan kita mahu menjadikan mereka seorang yang intelektual dan berjaya,’’ katanya.

Bagi merealisasikan teras kedua, hospital pakar dan hospital pesakit luar yang akan dibina.

Ketiga pusat perindustrian akan diwujudkan dan akan memberi peluang pekerjaan kepada 20,000 orang.

Seterusnya teras keempat beliau akan meminta Kerajaan Pusat supaya melaksanakan pembinaan projek perumahan rakyat di kawasan tersebut.

Teras yang kelima, Abdul Azeez mahu menjadikan daerah Baling ini sifar penagihan dadah kerana pada masa ini daerah berkenaan mencatatkan jumlah penagih dadah kedua tertinggi di Kedah.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com