Lapangan Terbang Mini Akan Dibina Di Hutan Melintang


BAGAN DATUK – Sebuah lapangan terbang mini akan dibina di Ladang Jendarata, Hutan Melintang di sini bagi merancakkan lagi pembangunan di kawasan Parlimen Bagan Datuk, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata seorang pelabur dari Kanada berminat membuka sebuah gudang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat komersial berskala kecil di situ.

Katanya pihak pelabur telah membentang kertas kerja kepadanya tiga bulan lepas dan meminta dibina landasan terbang yang sesuai untuk jet atau kapal terbang perdagangan sekiranya pelaburan dilaksanakan kelak.

“Pihak pelabur lihat Bagan Datuk tidak dikelilingi gunung-ganang atau bukit bukau dan kawasan ini landai. Mereka telah Google Maps kawasan kita dan kawasan ini sesuai,” katanya.

Ahmad Zahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata demikian kepada pemberita selepas program Kenduri Pusat Daerah Mengundi Zon Jambatan Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang kelmarin.

Ahmad Zahid berkata sekiranya pelaburan itu nanti mendapat kelulusan, pihaknya juga akan memohon Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Berhad (UP Berhad) Datuk Carl Bek-Nielsen membantu membesar dan meluaskan lagi landasan kapal terbang mini sedia ada syarikat itu di sini.

Katanya beliau yakin projek itu nanti akan membawa pulangan yang tinggi dan manfaat kepada penduduk.

“Mereka (pelabur) juga telah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pekerja-pekerja mahir dalam bidang penerbangan.

“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan Politeknik Bagan Datuk bagi mewujudkan fakulti kejuruteraan penerbangan kerana politeknik itu kini mempunyai fakulti kejuruteraan marin dan kejuruteraan automotif,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Multaqa Mahabbah Ahli Jawatankuasa Pegawai Masjid dan Guru Kafa daerah Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim di pekan Bagan Datuk. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com