'Langkah Bodoh' Jika Serah Jawatan PM Kepada Anwar Sebaik Pembebasan - Daim


TINDAKAN Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik beliau dibebaskan dari penjara boleh disifatkan sebagai satu 'langkah bodoh'.

Menurut Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam temu bual beliau bersama akhbar Singapura, The Straits Times, peralihan kepimpinan yang lebih pragmatik adalah pada waktu 'pertengahan'.

"Perubahan tersebut akan berlaku pada waktu pertengahan. Rakyat tidak akan percaya lagi jikalau janji yang dibuat pada mereka dilanggar. Jadi (untuk menukar Perdana Menteri) sekarang ia adalah satu langkah bodoh," kata Daim dalam temu bual tersebut, semalam.

Menurut akhbar itu lagi, perubahan kepimpinan tersebut dijangka akan berlaku secepat-cepatnya pada 2020, dengan Dr. Mahathir sendiri mengakui bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk memperbetulkan masalah yang telah ditinggalkan oleh perdana menteri terdahulu.

MAHATHIR BERJAYA

Daim turut memberitahu bahawa beliau telah berjumpa dengan Anwar baru-baru ini untuk menyampaikan mesej bahawa "anda semua telah mencuba pada beberapa pilihan raya dan gagal. Samada suka atau tidak, (sekarang) Mahathir berjaya."
Dr. Mahathir kembali memegang tampuk kerajaan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 selepas melepaskan jawatan tersebut pada tahun 2003.

Anwar pada ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 5 tahun kerana didapati bersalah oleh mahkamah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada minggu lalu telah memperkenankan untuk memberi pengampunan diraja kepada Anwar, dengan beliau sepatutnya dibebaskan daripada hukuman tersebut,Selasa.

Namun, Lembaga Pengampunan yang sepatutnya bersidang hari ini, telah menangguhkan sidangnya ke hari esok, sekaligus pembebasan Anwar terpaksa ditangguhkan.

BELAKANG TABIR

Sementara itu Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kekal menjawat jawatan Perdana Menteri yang disandang hari ini sehingga dua tahun akan datang.

Perdana Menteri yang bercakap dalam wawancara bersama Wall Street Journal menegaskan beliau akan memainkan peranan di sebalik tabir setelah melepaskan jawatan kelak.

“Di peringkat awal mungkin berlanjutan satu atau dua tahun, saya akan menjadi Perdana Menteri. Saya akan memainkan peranan di sebalik tabir, walaupun sudah meletak jawatan,” katanya.

RINDU ANWAR

Sementara itu para penyokong PKR berpeluang untuk bertemu dengan penasihat parti itu, dalam satu perjumpaan di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perjumpaan itu akan diadakan selepas solat sunat tarawih.

“Bagi yang merindui saudara Anwar Ibrahim, insya-Allah Rabu ini selepas solat tarawih, kita jumpa di Padang Timur MBPJ,” katanya menerusi laman Twitter  hari ini.

Anwar dijangka mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan esok. 

Sumber : UTUSAN ONLINE

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com