Lang Merah Waspada Jumpa Pahang


ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mahu pemainnya terus menggandakan usaha dan memperbaiki kelemahan terutamanya di bahagian benteng apabila berkunjung ke Kuantan untuk bertemu Pahang dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.

"Kelemahan yang berlaku pada perlawanan menentang Negeri Sembilan, Selasa lalu wajar menjadi panduan supaya kita lebih berwaspada dan meningkatkan fokus menghadapi perlawanan seterusnya di Kuantan.

"Kita sedar bukan tugas mudah untuk berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur yang bakal memberi cabaran hebat kepada kita. Apatah lagi kemenangan Pahang dalam dua perlawanan sebelum ini ke atas Melaka United dan Terengganu FC pasti meningkatkan lagi motivasi mereka.

"Kita perlu lebih fokus sepanjang tempoh 90 minit nanti bagi mengekang segala asakan tajam dari Pahang yang dibarisi jentera serangan yang hebat antaranya Mohamadou Sumareh dan Partick Cruz," katanya.

Beliau juga berharap kehadiran semula pemain bek kanan, Rizal Ghazali yang tidak beraksi pada perlawanan menentang Negeri Sembilan dapat mengukuhkan lagi benteng Kedah untuk berdepan Pahang.

"Kehadiran Rizal mampu menambah kekuatan bahagian pertahanan dan mengukuhkan lagi benteng Kedah di Darul Makmur, Sabtu ini."

Nidzam juga berharap semua pemain dapat memberi aksi terbaik mereka dalam usaha memburu tiga mata selepas gagal berbuat demikian apabila diikat seri 3-3 oleh Negeri Sembilan, Selasa lalu.

"Saya menyeru semua pemain supaya lebih fokus sepanjang tempoh 90 minit perlawanan dan teruskan tingkatkan fokus dalam misi memburu kemenangan."

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com