Laman Web Parti Alami Serangan Siber


KUALA LUMPUR - Beberapa laman web rasmi parti politik tanah air mengalami serangan siber sejak awal pagi tadi.

Semakan pada laman web rasmi Barisan Nasional (BN), PKR dan DAP mendapati ia sukar dicapai seperti biasa.

BN menerusi akaun Twitter rasmi turut memuat naik kenyataan terbaru mengenai serangan berkenaan.

"Laman web rasmi Barisan Nasional kena hack (godam) pada hari mengundi," menurut kenyataan di Twitter itu.

Bagaimanapun, semakan mendapati laman web rasmi PAS setakat jam 12 tengah hari tadi tidak terkena serangan teknikal berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Dr Halim Shafie, ketika dihubungi berkata pihaknya menyedari serangan teknikal diterima beberapa pemimpin politik dan laman web rasmi parti politik.

"SKMM akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung serangan teknikal itu dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, meminta pemilik laman web yang mengalami gangguan atau serangan teknikal supaya membuat laporan segera kepada agensi berkenaan.

"Setakat ini, kita belum menerima sebarang aduan berhubung gangguan atau serangan teknikal membabitkan laman web (parti politik tempatan).

"Justeru, pemilik atau pentadbir laman web terbabit diminta supaya membuat aduan menerusi email, cyber999@cybersecurity.my atau hubungi talian 1300882999," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com