Lagi Ahli PPBM Keluar Parti


PASIR GUDANG - Selepas 24 jam membuat pengumuman hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Pasir Gudang terus bergolak apabila seramai 80 ahlinya keluar parti hari ini.

Kumpulan yang diketuai Setiausaha Bahagiannya, Zamrin Hamzah, turut mengumumkan akan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu menjelang hari terakhir kempen.

"Saya Setiausaha PPBM Bahagian Pasir Gudang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan atasan dan hari ini saya mengisytiharkan keluar parti.

"Kami juga tidak akan membabitkan diri dengan parti ini dan dengan itu saya bersama jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak akan bekerjasama dengan jentera ini (PPBM Pasir Gudang)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini bersama 80 ahli PPBM yang keluar parti itu.

Zamrin berkata, beliau bersama jentera dan jawatankuasa bahagian berusaha awal menaikkan nama PPBM di kawasan itu, namun Ketua Bahagian, Dr Hashim Yusoff tidak dipilih sebagai calon pada PRU-14 bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang.

"Kita memilih BN dan bantu calon Pasir Gudang dari parti BN," katanya.

Semalam, hampir 30 ahli PPBM Bahagian Pasir Gudang dalam satu sidang media khas mendesak pucuk pimpinan tertinggi parti itu di peringkat pusat dan negeri meletak jawatan serta-merta.

Diketuai Setiausaha Kerja PPBM Pasir Gudang, Norzri Mokhtar, kumpulan itu menamakan tiga individu iaitu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Shahruddin Md Salleh dan Setiausaha negeri, Datuk Osman Sapian supaya meletak jawatan.

Dua perkara menyebabkan ahli mereka hilang kepercayaan adalah disebabkan Hashim tidak dicalonkan dalam PRU-14 serta mendakwa wujud agenda di sebalik percaturan calon di Johor.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com