Lagi Ahli PPBM Hilang Kepercayaan Pucuk Pimpinan Parti


PASIR GUDANG - Sekumpulan 30 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian di sini, hari ini, mendesak pimpinan tertinggi parti itu di peringkat Pusat dan negeri, meletak jawatan serta-merta.

Diketuai Setiausaha Kerja PPBM Pasir Gudang, Norzri Mokhtar, kumpulan itu menamakan tiga individu iaitu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Shahruddin Md Salleh dan Setiausaha negeri, Datuk Osman Sapian, untuk meletak jawatan.

Katanya, dua perkara menjadi punca ahli mereka hilang kepercayaan iaitu pertama disebabkan Ketua Bahagian PPBM Pasir Gudang, Dr Hashim Yusoff, tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan kedua, berikutan wujud agenda di sebalik percaturan calon di Johor.

"Sebagai Setiausaha Kerja PPBM Pasir Gudang, saya bersama rakan menaikkan nama PPBM di sini sejak September 2016, sebelum Dr Hashim hadir dan bekerja bersama kami tanpa henti. Namun, nama beliau yang diusulkan tidak diterima pucuk pimpinan.

"Perkara kedua adalah percaturan yang dibuat pucuk pimpinan negeri. Dalam mesyuarat Ketua Bahagian bersetuju sebulat suara mereka akan bertanding di kawasan masing-masing dan tiada calon lompat, tetapi sekarang apa sudah jadi?" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas PPBM Bahagian Pasir Gudang di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam di sini, semalam.

Norzri berkata, sidang media itu diadkan bukan bertujuan keluar parti, sebaliknya mendesak pucuk pimpinan parti yang seharusnya keluar daripada parti.

"Saya dan rakan hari ini sudah hilang kepercayaan kepada pimpinan Presiden. Saya minta Tan Sri (Muhyiddin), Setiausaha Agung (Shahruddin) dan Setiausaha negeri (Osman) meletak jawatan serta-merta," katanya.

Sidang media yang berlangsung sedikit terganggu dan tegang berikutan beberapa kumpulan dipercayai dari PPBM Pasir Gudang hadir dan bertanya soalan pada sidang media berkenaan.

PPBM pada bulan lalu mengumumkan Ketua Bahagian PPBM Bahagian Parit Sulong, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, sebagai calon yang bertanding atas tiket PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com