Korea Utara Musnah Tapak Ujian Nuklear Bulan Ini


SEOUL - Korea Utara akan memusnahkan tapak ujian nuklear negara itu bulan ini sebelum sidang kemuncak bersama Amerika Syarikat (AS) dan berjanji untuk meletupkan terowong berkenaan di hadapan media asing yang dijemput khas.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji tindakan Korea Utara untuk memusnahkan tapak ujianPunggye-ri dalam satu majlis dijadualkan antara 23-25 Mei.

"Terima Kasih, satu tindakan yang bijak dan baik hati," kata Trump menerusi Twitter.

Dialog dicetuskan oleh Seoul itu menyaksikan bagaimana hubungan Korea Utara - Amerika Syarikat yang saling bertukar cercaan dan ugutan perang sejak tahun lalu bertukar kepada persetujuan untuk mengadakan persidangan antara Kim serta Trump di Singapura pada 12 Jun nanti.

Namun pengkritik memberi amaran, Pyongyang masih belum menyatakan sebarang komitmen dalam menyerahkan kesemua senjata milik mereka, termasuk peluru berpandu yang berkeupayaan untuk terbang hingga ke AS.

Washington menuntut Korea Utara menghentikan semua program nuklear negara terbabit dan menekankan bahawa pengesahan adalah kunci utama.

Punggye-ri di timur laut Korea Utara sebelum ini menjadi lokasi kesemua enam ujian nuklear termasuk yang terakhir dan paling kuat pada September tahun lalu, dikenali sebagai H-bomb. menurut Pyongyang. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com